Pecah amanah: Polis buru 21 peguam

Mohd Zakaria menunjukkan gambar peguam yang diperlukan untuk membantu siasatan kes pecah amanah.
Mohd Zakaria menunjukkan gambar peguam yang diperlukan untuk membantu siasatan kes pecah amanah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan 21 peguam bagi membantu siasatan 39 kes pecah amanah yang membabitkan kerugian berjumlah RM30.4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes tersebut sejak 2012 sehingga tahun ini.

Menurutnya, antara laporan yang diterima ialah 21 di Selangor, Kuala Lumpur (11) dan Johor (3).

"Polis turut menerima laporan masing-masing dua kes di Pahang dan satu di Negeri Sembilan serta Perak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Zakaria berkata, peguam terbabit dipercayai diamanahkan untuk memegang wang pelanggan namun telah menyalahgunakan untuk kegunaan sendiri.

“Sebahagian daripada mereka juga terlibat dengan kes penipuan pelaburan hartanah dan kontrak,” katanya.

Menurutnya, sebahagian peguam itu mempunyai firma guaman sendiri.

“Kita telah melaporkan kes tersebut kepada Majlis Peguam dan kesemua mereka telah ‘strike out’ (dikeluarkan dari senarai pengamal undang-undang) oleh Majlis Peguam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hasil semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia mendapati lima daripada mereka berada di luar negara.

“Selebihnya masih di dalam negara dan kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung peguam berkenaan boleh tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420/409 Kanun Keseksaan.