Sikap hormati negara sudah diajar sejak sekolah rendah

A
A

BARU-baru ini tular di laman sosial, sekumpulan individu tidak menghormati lagu Negaraku ketika dimainkan dalam satu majlis di Kuching.

Berdasarkan rakaman video tersebut, kumpulan lelaki berkenaan tidak berdiri ketika lagu kebangsaan itu berkumandang dalam satu majlis.

Akibat daripada perbuatan tersebut, lapan lelaki itu dipanggil polis untuk diambil keterangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 (3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak lebih sebulan.

Bukan hukuman yang jadi persoalan Merak Jalanan, sebaliknya kes ini memperlihatkan bagaimana rapuhnya semangat patriotik segelintir masyarakat negara ini.

Walaupun Merak Jalanan difahamkan kumpulan itu bertindak demikian kerana protes, namun tidak wajar menunjukkan sikap biadab kepada negara.

Sebelum ini pun banyak juga kes rakyat Malaysia bertindak biadab terhadap negara sendiri.

Sebelum ini panas isu Jalur Gemilang dipasang terbalik. Sampai sekarang Merak Jalanan tak pasti sama ada memang sengaja atau kesilapan teknikal.

Tapi, memasang Jalur Gemilang terbalik juga menunjukkan rapuhnya semangat patriotik sebahagian rakyat Malaysia hari ini.

Teringat zaman sekolah dahulu, mata pelajaran pendidikan sivik atau tatarakyat merupakan subjek paling Merak Jalanan gemari.

Dari seawal darjah satu sudah ditanamkan dengan semangat patriotik.

Kita diajar menghormati Jalur Gemilang dan berdiri tegak ketika lagu Negaraku berkumandang.

Apa yang diajarkan cikgu-cikgu menusuk ke dalam jiwa sehingga terbawa-bawa semangat itu walaupun selepas habis sekolah, masuk universiti dan kini sudah bekerja.

Sebab itu, Merak Jalanan beranggapan bahawa rakyat Malaysia yang tidak ada semangat patriotik, tidak menghormati lagu Negaraku atau Jalur Gemilang, mereka ini sebenarnya tidak sekolah.

Kalau sekolah, sudah tentu mereka tahu cara untuk menghormati negara sendiri.