Ingatkan persembahan, rupa-rupanya...

Wanita itu berdiri hanya beberapa kaki daripada haiwan pemangsa itu sambil menari dan melambaikan tangannya.
Wanita itu berdiri hanya beberapa kaki daripada haiwan pemangsa itu sambil menari dan melambaikan tangannya.
A
A
A

BRONX - Seorang pengunjung wanita Zoo Bronx di Amerika Syarikat (AS) sanggup membahayakan nyawanya apabila memanjat penghadang keselamatan semata-mata untuk mengejek seekor singa di kawasan berkenaan.

Menerusi video pendek yang tular di laman media sosial, wanita terbabit dilihat berdiri hanya beberapa kaki daripada haiwan pemangsa itu sambil menari dan melambaikan tangannya ke arah singa tersebut.

Seorang lelaki yang merakam situasi tersebut, Hernan Reynoso berkata, dia ke zoo berkenaan bersama anak dan isterinya.

"Pada mulanya saya sangka ia adalah sebahagian daripada persembahan oleh pihak Zoo Bronx namun wanita itu dilihat hanya berdiri, menari dan menyapa singa itu dengan sangat berani.

"Sepanjang dia berada berhampiran singa, haiwan itu hanya memandang wanita tersebut tetapi lama kelamaan ia mula kelihatan gelisah dan mengaum. Ketika itu saya tarik tangan keluarga saya dan meninggalkan kawasan tersebut," katanya.

Susulan kejadian berkenaan, Zoo Bronx memfailkan aduan untuk kesalahan jenayah dan mengesahkan kejadian itu dalam satu kenyataan.

"Tindakan tersebut adalah pelanggaran dan pencerobohan serius yang menyalahi undang-undang malah boleh mengakibatkan kecederaan serius dan kematian. Halangan dan peraturan yang disediakan adalah untuk memastikan keselamatan pengunjung, kakitangan dan haiwan.

"Kami tidak akan bertolak ansur terhadap kesalahan menceroboh dan melanggar sekatan," menurut kenyataan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, tiada tangkapan dibuat dan polis masih berusaha mendapatkan identiti wanita berkenaan. - Agensi