Etika dalam menyebar berita

A
A

[DIKEMASKINI] “SIAPA yang ajar surah (ayat al-Quran) yang engkau baca ni? Umar bertanya keras kepada Hisyam.

Hisyam menjawab: “Rasulullah”. Saidina merasa hairan kerana Rasulullah SAW mengajarnya dengan bacaan yang berbeza daripada apa yang Hisyam baca.

Lantas Umar dengan tegas dan keras berkata: “Dusta! Apa yang Rasulullah ajarkan kepadaku adalah berbeza dengan apa yang engkau baca.”

Umar merasa marah pada Hisyam. Dia membawa Hisyam menemui Rasulullah untuk membuktikan bahawa Hisyam salah.

Sebaik sahaja berdepan dengan Rasulullah SAW, Saidina Umar menceritakan perihal tersebut.

Ringkas cerita, Rasulullah SAW telah meminta Hisyam membaca ayat berkenaan dan setelah mendengar bacaan tersebut Rasulullah memperakukannya.

Selepas itu baginda meminta Umar pula membaca surah yang sama. Rasulullah SAW bersabda: “Begitulah pula diwahyukan. Al-Quran diwahyukan untuk dibaca dengan tujuh cara (qira’ah al-sab’ah). Maka bacalah dengan cara yang mudah bagimu.”

Meskipun baginda sangat kenal dengan peribadi Umar, baginda tidak membuat keputusan melainkan setelah membuat semakan dahulu (tabayun) terhadap bacaan Hisyam yang didakwa salah oleh Umar dan juga bacaan Umar sendiri.

Pengajaran kedua ialah bagaimana Umar tidak terus tularkan sangkaannya itu kepada orang lain sebelum merujuk orang yang lebih mengetahui tentang al-Quran iaitu Rasulullah SAW.

Mengapa Rasulullah SAW dan Umar bertindak sedemikian? Ini kerana baginda tidak mahu fitnah melata.

Begitulah sepatutnya sikap kita dalam menjalani kehidupan kita di dunia ini. Jika tauladan dan didikan Rasulullah SAW itu tidak dijadikan panduan hidup, maka jika suatu berita disebarkan sebelum dipastikan kebenarannya, sudah tentu ia akan menjadi satu fitnah.

Bercakap tentang keperluan tabayun ini, saya ingin menarik perhatian pembaca kepada satu berita yang dipaparkan sebuah portal berita baru-baru ini tentang dakwaan bahawa wang kertas Malaysia dipercayai mengandungi lemak babi.

Pada pandangan saya, adalah kurang wajar perkara tersebut dipaparkan kepada orang ramai sebelum dipastikan kebenaran maklumat yang diterima.

Perkara sensitif begini perlu ditangani dengan bijaksana dan berhemah. Jika tidak, ia boleh menimbulkan panik dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Seandainya benar dakwaan bahawa lemak babi digunakan, kita perlu kaji dahulu dan memahami betul-betul proses yang dilalui untuk mencetak wang kertas.

Berdasarkan maklumat yang saya dengar tentang proses percetakan mata wang kertas, difahami bahawa Calcium Stearate (CS) diperlukan untuk memastikan plastic resin yang diguna untuk mencetak wang kertas polimer agar tidak melekat.

CS ini boleh diekstrak daripada lemak haiwan dan juga daripada tumbuhan. Bagaimanapun, biasanya CS ini diekstrak daripada lemak haiwan kerana kosnya lebih murah berbanding sumber tumbuhan.

Proses untuk ekstrak CS ini melibatkan pembakaran. Untuk sampai ke peringkat percetakan, banyak kali melibatkan pembakaran pada suhu yang tinggi.

Dimaklumkan bahawa DNA akan musnah pada suhu kepanasan 190 darjah Celsius.

Merujuk kepada pembakaran yang dilakukan dalam proses penghasilan mata wang kertas polimer, saya ingin mengajak pembaca sekalian untuk memahami tentang istihalah.

Istihalah merujuk kepada perubahan suatu bahan kepada bahan yang lain sama ada melibatkan aspek fizikal atau kandungannya.

Contohnya, perubahan arak kepada cuka dan kulit bangkai binatang ( selain babi dan anjing) yang disamak bertukar menjadi tidak najis iaitu suci.

Ada dua pendekatan yang dikemukakan oleh fuqaha’ berhubung teori istihalah.

Pendekatan pertama lebih terbuka. Ini kerana apa jua proses perubahan yang berlaku sama ada secara semula jadi, maka perubahan tersebut menyebabkan sesuatu yang najis bertukar menjadi suci. Pandangan ini dikemukakan oleh jumhur selain Mazhab Syafie dan sebahagian Hanbali.

Pendekatan kedua pula lebih sempit.

Pandangan ini dikemukakan oleh Mazhab Syafie dan salah satu pandangan Mazhab Hanbali.

Mazhab Syafie berpendapat, suatu yang najis tidak menjadi suci kecuali dalam tiga keadaan: (i) Arak menjadi cuka; (ii) Kulit bangkai binatang selain babi dan anjing yang telah disamak; dan (iii) Suatu yang berubah menjadi haiwan seperti bangkai menjadi ulat.

Mazhab Hanbali pula berpandangan hanya arak menjadi cuka sahaja dikira istihalah yang diterima.

Saya berpendapat, pandangan jumhur lebih praktikal. Oleh itu, pembakaran adalah satu proses istihalah yang boleh menjadikan sesuatu itu suci apalagi jika dapat dibuktikan tiada DNA binatang haram seperti babi. Wallahu a’lam.

**Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.