X

Kindly register in order to view this article
!

Seronok seketika, di penjara berbulan-bulan

A
A

ANGKA yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai penglibatan penjawat awam dengan kes rasuah sangat membimbangkan. Sejumlah 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan bermula 2014 hingga Jun lalu atas kesalahan rasuah membabitkan golongan penjawat awam.

Malah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador turut mendedahkan, tahun ini dijangkakan lebih ramai anggota dan pegawai polis ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk kes rasuah. Ini membuktikan misi menghapuskan budaya rasuah masih belum berjaya ditangani, masih ramai penguat kuasa yang degil dan mata duitan.

Lebih membimbangkan lagi, kegiatan itu melibatkan golongan muda berusia 40 tahun ke bawah. Apa yang mereka cari, tidak cukupkah gaji bulanan yang diterima? Atau adakah mereka ini terdorong untuk hidup bermewah-mewah?

Isu rasuah bukan hanya bersangkutan dengan soal kos atau kerugian atau kedudukan nagara dalam Indeks Persepsi Rasuah, tetapi apa yang lebih penting adalah integriti, maruah dan soal masa depan mereka yang terlibat dengan gejala ini.

Bayangkan seorang ayah yang sanggup menerima rasuah bernilai RM50 akhirnya meringkuk di penjara. Beban maruah yang ditanggung akan terpalit kepada seluruh ahli keluarga.

Ketua SPRM, Latheefa Koya tidak menafikan cabaran untuk menangani dan memerangi rasuah kini terletak di bahunya. Beliau bersama pasukannya kini bangun menunjuk taring, sekali gus menjadikan SPRM sebagai sebuah agensi yang digeruni masyarakat termasuk penjawat awam.

Semangat dan komitmen padu SPRM dalam membanteras isu rasuah wajar dipuji. Sempena Ulang Tahun SPRM yang ke-52, agensi itu menunjukkan semangat melalui tema yang dilaungkan iaitu Rasuah Disisih, Negara Bersih.

Rasuah adalah isu kritikal yang perlu ditangani secara sistematik, menyeluruh dan semestinya mendapat kerjasama yang padu daripada semua pihak di akar umbi. Sebagai anggota masyarakat, tentunya kita tidak mahu lagi melihat ada lipatan duit di bawah buku atau resit saman, ada penyerahan sampul di bawah meja atau ada transaksi-transaksi meragukan dalam akaun peribadi.

Sesungguhnya orang yang memberi dan menerima rasuah serta orang yang memberi jalan terhadap kedua-duanya (perantara) akan dilaknati!


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!