X

Kindly register in order to view this article
!

Al-Quran tulisan tangan berusia 300 tahun

Tulisan tangan Tok Minhat kian uzur dimamah waktu.
A
A

MARAN - Sebuah al-Quran hasil tulisan tangan berusia kira-kira 300 tahun antara koleksi simpanan pengurusan Pondok Raudhah Al-Muhibin atau Pondok Pak Kob di Kampung Pantai Chenor di sini.

Penyelaras pondok, Barkatullah Mohd Bohari,37, memberitahu, manuskrip tersebut yang merupakan hasil tulisan seorang ulama, Tok Minhat sekitar 1700 Masihi diserahkan oleh waris keluarga tersebut beberapa bulan lalu kepada pondok tersebut sebagai pemegang amanah.

Menurutnya, mengikut apa yang diceritakan secara lisan sejak turun-temurun memberitahu Tok Minhat gigih menghafaz surah al-Fatihah selama 40 tahun kerana selalu terlupa.

"Namun beliau tidak berputus asa dan menganggap sebagai takdir ALLAH SWT dan berkat ketekunan dan kesungguhannya Tok Minhat berjaya menulis, membaca dan menghafaz 30 juzuk al-Quran.

"ALLAH mengurniakan kebolehan luar biasa kepada Tok Minhat dapat menulis dan membaca al-Quran dengan lancar hasil ketekunan dan kesabaran menuntut ilmu al-Quran," ujarnya lagi.

Barkatullah bersama al-Quran tulisan tangan yang dirancang untuk dijilidkan bagi memulihara dan boleh menjadi tatapan generasi akan datang.
Barkatullah bersama al-Quran tulisan tangan yang dirancang untuk dijilidkan bagi memulihara dan boleh menjadi tatapan generasi akan datang.

Kegigihan Tok Minhat menyiapkan al-Quran tersebut diceritakan waktu beliau berhenti seketika, ALLAH hadirkan 'semut-semut' meneruskan tugasan itu agar tulisan itu tidak putus.

"Namun perkara ini tidak mustahil berlaku kepada waliullah seperti Tok Minhat ini seorang ulama pada zamannya.

"Malah keajaiban pernah berlaku al-Quran tulisan tangan Tok Minhat tidak terbakar walaupun rumah pemiliknya hangus beberapa kali dan satu peristiwa lain al-Quran ini tetap terpelihara semasa banjir besar melanda Pahang pada tahun 1970/1971," katanya ia diwariskan dari satu generasi ke generasi dan disimpan dalam bekas khas diperbuat daripada kain baldu.

Ujarnya lagi, makam Tok Minhat dikenal pasti oleh waris keluarga di Kampung Sawah berhampiran dengan Kampung Machang Gelap di sini.

Sementara itu, ibu Barkatullah, Nur Asma Abdul Rahman,66, memberitahu, dirinya telah mengetahui kisah tersebut sejak kecil.

Tambahnya, apabila pondok tersebut diberikan kepercayaan menyimpan khazanah bernilai itu beliau bersyukur dan berharap dapat dijaga dengan baik.

Ditanya perancangan pondok tersebut, Barkatullah memberitahu pihaknya berhasrat untuk menjilidkan al-Quran berkenaan.

"Al-Quran tulisan tangan ini sangat cantik dan boleh dibaca tetapi agak uzur atas faktor masa. Kami berhasrat memuliharanya demi menjaga kelangsungan dan nilai sejarahnya.

"Difahamkan kosnya juga bukan murah sekurang-kurangnya kira-kira RM10,000 diperlukan," jelasnya.

Pada mana-mana pihak korporat institusi atau badan bukan kerajaan (NGO) boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun Bank Islam Malaysia atas nama Tetuan Surau Kampung Pantai, Chenor 06028010068535.

1
1


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus