Pengguna sosial tidak setuju calon pilihan raya usia 18 tahun

Keputusan tinjauan Sinar Harian menerusi laman sosial Facebook rasmi menunjukkan sejumlah 86 peratus pengguna sosial tidak bersetuju dengan cadangan remaja berusia 18 tahun dibenarkan menjadi calon pilihan raya kecil(PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Gambar kecil:Dr Sivamurugan
Keputusan tinjauan Sinar Harian menerusi laman sosial Facebook rasmi menunjukkan sejumlah 86 peratus pengguna sosial tidak bersetuju dengan cadangan remaja berusia 18 tahun dibenarkan menjadi calon pilihan raya kecil(PRK) Parlimen Tanjung Piai. Gambar kecil:Dr Sivamurugan
A
A
A

SHAH ALAM - Majoriti pembaca Sinar Harian tidak bersetuju dengan cadangan parti-parti politik kini boleh meletakkan calon berusia 18 tahun bertanding dalam pilihan raya bermula dengan Pilihan Raya Kecil(PRK) Tanjung Piai, Johor pada 16 November depan.

Tinjauan dilakukan Sinar Harian menerusi laman sosial Facebook dibuka sejak pagi semalam menerima undian netizen sebanyak 12,894 dengan 86 peratus daripada pembaca menolak cadangan manakala 14 peratus bersetuju.

Di ruangan komen, pengguna Noraini Wahab berpendapat, "Sepatutnya usia 18 tahun utamakan pelajarannya dahulu ke peringkat tinggi, baru boleh dapatkan pengetahuan berpolitik untuk membangunkan negara."

Bagi pengguna Yuss Soleh, dia membangkang penuh cadangan itu kerana merasakan usia lingkungan remaja itu belum cukup matang untuk berpolitik, apatah lagi memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

"Ini akan menjadikan negara lagi cepat musnah...Umur belum cukup matang walau ada kelayakan akademi...Elok bermula dengan menjadi ahli biasa dulu...Ramai lagi yang veteran."

Seorang lagi pengguna, Puma Jaguar pula mempersoalkan tahap pendedahan seorang remaja seawal usia 18 tahun dalam bidang politik dan pengetahuan dalam selok-belok pentadbiran dan perhubungan awam.

"Dengan usia begitu muda, sejauh mana pendedahan mereka dalam bidang politik dan selok belok pengetahuan dalam aspek pentadbiran negara serta perhubungan awam?"

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia(USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, keputusan tinjauan secara atas talian itu menunjukkan tahap penerimaan masyarakat negara ini terhadap sistem undi pilihan raya umur 18 tahun ke atas diamalkan di seluruh dunia belum memberangsangkan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya melihat tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan calon berusia 18 tahun ke atas bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai sebagai persediaan awal bagi menyuburkan kesedaran berpolitik dalam kalangan belia negara ini.

"SPR ada menyatakan terdapat proses pindaan undang-undang perlu dilaksana kerajaan bagi membolehkan pengundi muda berusia 18 tahun ke atas diberi hak mengundi pada pilihanraya akan datang.

"Saya fikir langkah SPR membenarkan calon berusia 18 tahun ke atas bertanding pada PRK kali ini adalah inisiatif awal agensi itu menyuburkan budaya cakna politik dalam kalangan golongan belia sekaligus menunaikan tanggungjawab mengundi.

"Soal sama ada calon remaja itu matang atau tidak bukan isu penting, sebaliknya semua pihak termasuk masyarakat setempat harus mencari jalan meningkatkan literasi politik dalam kalangan belia bagi menyuburkan amalan demokrasi negara," katanya.