BAM masih belum dapat lampu hijau untuk Jin Wei

Nurul Huda (lapan dari kiri) bersama para atlet badminton pada sesi lawatannya di Akademi Badminton Malaysia hari ini.
Nurul Huda (lapan dari kiri) bersama para atlet badminton pada sesi lawatannya di Akademi Badminton Malaysia hari ini.
A
A
A

BEKAS juara remaja dunia, Goh Jin Wei menjadi sandaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mempertahankan pingat emas acara perseorangan wanita pada temasya Sukan SEA Filipina 2019 November ini.

Prestasi pemain berusia 19 tahun itu, yang mengalami masalah kesihatan berkaitan perut sejak April lalu, mungkin kembali semula ke tahap asal pada temasya dwitahunan itu dengan acara badminton dijadual bermula 1 hingga 9 Dis ini di Manila.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, penyertaan semula Jin Wei pada temasya sukan itu masih bergantung kepada kelulusan pemeriksaan kesihatan walaupun nama pemain itu disenaraikan dalam skuad negara ke temasya sukan itu.

“Kami akan tahu apabila mendapat lampu hijau terakhir dalam masa tidak lama lagi...tetapi ketika ini belum ada. Kami hanya mempersiapkan pemain itu dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Nurul Huda Abdullah, melawat skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia di sini hari ini.

Jin Wei merupakan penyumbang tunggal pingat emas acara badminton pada Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 2017 dengan skuad negara meraih lima perak dan dua gangsa.

Sementara itu, Choong Hann optimistik skuad negara mampu memberi tentangan sengit dalam acara berpasukan walaupun bukan menjadi pasukan pilihan untuk pingat emas berdasarkan ranking semasa.

Dalam acara perseorangan, beliau mengakui pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia akan berdepan dengan tugas getir dengan kehadiran pemain nombor enam dunia, Jonatan Christie dan pemain nombor lapan dunia, Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia serta pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen.

“Selain Kantaphon, Jonatan merupakan lawan yang paling kuat...oleh itu ia merupakan cabaran menarik buat Zii Jia...namun ia tidak mustahil,” katanya.

Artikel Berkaitan:

“Sudah pasti ia adalah tugas berat tetapi proses penambahbaikan masih berterusan. Kami harap Zii Jia akan meneruskan rentak baiknya dan melakarkan beberapa kejutan di sana,” katanya.

Skuad badminton terdiri daripada 10 pemain lelaki dan 10 wanita.

Lelaki: Lee Zii Jia, Soong Joo Ven, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi, Ong Yew Sin, Goh Soon Huat, Tan Kian Meng, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Lim Chong King.

Wanita: Goh Jin Wei, Soniia Cheah, Lee Ying Ying, S. Kisona, Chow Mei Kuan, Lee Meng Yean, Vivian Hoo, Yap Cheng Wen, Shevon Lai, Lai Pei Jing. - Bernama