KPM galak ibu bapa dedahkan anak sertai aktiviti seni bela diri

Nie Ching menyerahkan replika cek kepada wakil SJKC Bercham pada Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di SJKC Bercham di sini hari ini.
Nie Ching menyerahkan replika cek kepada wakil SJKC Bercham pada Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di SJKC Bercham di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan galakan kepada ibu bapa memberikan pendedahan kepada anak mereka untuk mempelajari seni bela diri sebagai langkah tambahan jika berdepan situasi mencemaskan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, di sekolah memang terdapat beberapa aktiviti kokurikulum melibatkan seni bela diri seperti taekwando dan karate untuk dipelajari oleh pelajar.

Menurutnya, selain aktiviti mempertahankan diri, ilmu pendidikan seks juga turut dimasukkan dalam silibus pendidikan jasmani.

"Kita mengalu-alukan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mempelajari seni mempertahankan diri di sekolah. Malah pendidikan seksualiti juga sudah dimasukkan dalam subjek di sekolah.

"Malah di peringkat prasekolah, murid-murid diajar bagaimana sentuhan baik atau tidak baik untuk pastikan mereka faham," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di SJKC Bercham di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan orang ramai supaya asas seni bela diri diwajibkan di sekolah susulan kejadian seorang kanak-kanak perempuan yang terselamat daripada serangan seksual seorang pemandu teksi di kawasan Tembok Panuwasa, Kudat, Sabah baru-baru ini.

Mengenai majlis berkenaan pula, Ni Ching berkata, pemberian sumbangan itu disediakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai The Community Chest Fund yang bekerjasama dengan KPM dengan jumlah keseluruhan RM620,000.

Katanya, sebanyak 13 sekolah di sekitar Ipoh mendapat manfaat daripada sumbangan berkenaan termasuklah SJKC Bercham di sini.

Artikel Berkaitan: