KPM minta JPN siasat dakwaan kertas soalan PT3 'bocor'

Kenyataan media KPM berhubung dakwaan soalan PT3 yang diperoleh awal oleh calon.
Kenyataan media KPM berhubung dakwaan soalan PT3 yang diperoleh awal oleh calon.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diminta untuk menyiasat dakwaan mengatakan bahawa beberapa kertas soalan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) melibatkan mata pelajaran tertentu telah diperoleh awal oleh calon.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, ini kerana berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), tanggungjawab memuat turun dan mencetak kertas soalan merupakan tanggungjawab pengetua, penolong kanan pentadbiran dan setiausaha PT3 di sekolah masing-masing.

Menurutnya, dalam hal ini, personel yang telah menandatangani Akta Rahsia Rasmi 1972 wajib mematuhi setiap prosedur penjaminan kualiti termasuk memastikan keselamatan kertas soalan.

"Kertas Soalan PT3 adalah dokumen terperingkat terhad, maka semua personel pentadbiran dan pentaksiran adalah bertanggungjawab terhadap kerahsiaan dan keselamatan kertas soalan ini (PT3).

"Jika didapati dakwaan ini benar (kertas soalan telah diperoleh awal), maka pihak JPN hendaklah menjalankan siasatan.

"Memandangkan kertas soalan PT3 adalah dokumen terperingkat terhad, individu atau kumpulan yang terlibat dalam penyebaran kertas soalan boleh diambil tindakan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, sewajarnya kertas soalan dan panduan penskoran PT3 hendaklah disimpan di bilik dan almari berkunci di sekolah bagi memastikan kerahsiaan dan keselamatan kertas soalan, pergerakan kertas soalan dan panduan penskoran mesti direkodkan.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, KPM turut menggesa orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan mendapatkan maklumat rasmi daripada kementerian tersebut.

Artikel Berkaitan: