JAS pantau kualiti udara, air di Bukit Pelanduk

A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memantau kualiti udara dan air di sekitar kawasan Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan susulan kebakaran di pusat pelupusan sisa Kualiti Alam Sdn Bhd yang terletak di kawasan tersebut hari ini.

Menurut JAS, kebakaran di premis Kualiti Alam itu berlaku kira-kira 1.06 petang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berjaya memadamkannya pada kira-kira 3.45 petang.

Selepas pemadaman selesai, JAS berkata, ia telah menjalankan pemantauan kualiti udara di sekitar kawasan kejadian.

"Akan terus memantau kualiti udara dan air bagi memastikan keadaan baik dan selamat,” kata JAS dalam kenyataan sambil menambah jabatan itu akan menjalankan siasatan dengan kerjasama pihak JPBM berhubung insiden itu.

JAS menasihatkan orang ramai untuk tidak menghampiri kawasan kejadian.

Orang ramai juga diminta hanya merujuk kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh JAS atau menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 dan 010-3639017 (Talian Aduan JAS Negeri Sembilan), untuk sebarang maklumat. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Stor kualiti alam terbakar