Amanah tiada masalah 'duduk bersama' Pas: Salahuddin

Salahuddin menandatangani logo Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 sebagai simbolik perasmian pada majlis 'countdown'. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Salahuddin menandatangani logo Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 sebagai simbolik perasmian pada majlis 'countdown'. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Parti Amanah Negara (Amanah) tidak mempunyai masalah untuk 'duduk bersama' dengan Pas sekiranya dijemput menghadiri Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati yang akan berlangsung pada 6 Oktober ini.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahudin Ayub berkata, beliau tidak melihat ia sebagai satu kesalahan untuk pemimpin Amanah dan Pas bergandingan bersama pada majlis tersebut.

"Kalau fasal duduk bersama apa salahnya duduk bersama? Tiada masalah.

"Lagipun saya dengar ramai pemimpin lain termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga akan hadir menyampaikan ucapan pada kongres tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis 'countdown' menjelang sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Dewan Serbaguna Kementerian Pertanian dan Asas Tani di sini hari ini.

Namun katanya buat masa ini Amanah masih belum menerima sebarang jemputan untuk menghadiri kongres tersebut.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada pemimpin Amanah akan hadir dan 'duduk bersama' Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sudah mengesahkan kehadiran ke kongres tersebut.

Kehadiran Abdul Hadi pada kongres tersebut dilaporkan membuktikan bahawa parti itu berjiwa besar untuk mengukuhkan penyatuan ummah di negara ini.

Sementara itu ketika ditanya apakah pemimpin Amanah akan hadir sekiranya dijemput Salahuddin berkata, perkara itu akan diputuskan oleh parti.

Artikel Berkaitan:

Kongres tersebut merupakan anjuran bersama Universiti Malaya; Universiti Tekonlogi Mara (UiTM); Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Kongres sehari itu dijangkakan akan memberi fokus kepada lima bidang iaitu persoalan politik, ekonomi, pendidikan serta kebudayaan dan agama oleh universiti-universiti tersebut.