Tiada slot bacaan doa hanya ucapan perpaduan: Ramasamy

Ramasamy
Ramasamy
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang mengesahkan bahawa tiada slot untuk bacaan doa pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan (Perempuan) Methodist Pulau Pinang yang diadakan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy berkata, majlis anugerah yang diadakan pada 27 September lalu di sebuah kolej itu hanya menyediakan slot untuk penyampaian ucapan perpaduan kepada tetamu yang hadir.

Menurutnya, tuduhan bahawa berlakunya larangan bacaan doa Islam pada majlis tersebut merupakan satu fitnah daripada pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya telah berjumpa dengan ahli lembaga sekolah untuk berbincang isu ini. Mereka menyatakan bahawa memang tiada slot bacaan doa di majlis itu dan hanya ada ucapan perpaduan sahaja. Sepatutnya dua wakil yang akan memberi ucapan itu iaitu seorang wakil agama Kristian dan seorang lagi wakil Islam.

"Bagaimanapun kerana kesuntukan masa, wakil agama Islam tidak sempat berucap. Namun objektif majlis tercapai iaitu mengeratkan perpaduan antara pelajar berlainan agama dan kaum," katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri di sini tadi.

Ramasamy yang juga Exco Pendidikan berkata, sehingga kini pihaknya belum berpeluang untuk bertemu dengan guru Islam sekolah itu termasuk pengetuanya.

"Sekolah tersebut mempunyai 500 pelajar yang mana 300 daripada beragama Islam. Saya difahamkan sekolah itu mempunyai ramai guru Islam termasuk enam orang ustazah. Bagaimanapun saya belum berkesempatan untuk berjumpa dengan mereka.

"Jika ada kesempatan selepas ini saya akan berjumpa dengan mereka untuk berbincang sendiri dengan mereka. Malah dengan pihak sekolah juga saya belum berpeluang untuk bersemuka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ramasamy turut menyatakan kekesalannya apabila ada pihak yang membuat laporan polis tanpa mengetahui fakta yang sahih.

"Saya difahamkan ada NGO (badan bukan kerajaan) Melayu- Muslim telah menuduh sekolah ini tidak membenarkan bacaan doa Islam sebaliknya mengadakan bacaan doa Kristian. Perkara itu kemudiannya tular di media sosial dan 10 laporan polis termasuk lapan di Pulau Pinang telah dibuat.

"Pada dasarnya, saya tidak nampak apa-apa kesalahan yang berlaku dalam majlis tersebut. Walaupun sekolah mubaligh berada di bawah Akta Pendidikan terdapat pekeliling yang mengakui ciri khas, tradisi dan etos sekolah mubaligh.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu larangan bacaan doa: 9 individu lagi akan dipanggil

"Kurikulum pendidikan adalah sama tetapi tradisi dan pendekatan yang berlainan dalam pengajaran serta kepentingan doa Kristian membezakan sekolah mubaligh dari sekolah kebangsaan," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan sekolah mubaligh adalah sekolah bantuan modal yang mana selain gaji guru, perbelanjaan lain ditanggung oleh misi mubaligh itu sendiri.

"Laporan polis sudah dibuat maka biar polis menyiasat perkara ini. Buat masa ini saya tidak mahu mengulas lanjut dan saya serah kepada polis.

"Bagaimanapun saya meminta kepada semua agar jangan mengeluarkan kenyataan selagi tidak mendapat fakta yang sahih. Ia akan merumitkan lagi keadaan," katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan memberi peringatan tegas kepada pentadbir Sekolah Rendah Kebangsaan (Perempuan) Methodist Pulau Pinang kerana melanggar Peraturan-Peraturan Pendidikan.

Pentadbir sekolah itu diberi peringatan itu atas kesalahan larangan bacaan doa pada Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar Tahun 2019.