Dua lelaki menyamun guna parang ditahan

Mustafa memegang parang tertera perkataan 'terbaik bossku' yang digunakan dua suspek untuk menyamun premis pada sidang media di IPD Pontian di sini hari ini.
Mustafa memegang parang tertera perkataan 'terbaik bossku' yang digunakan dua suspek untuk menyamun premis pada sidang media di IPD Pontian di sini hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Dua lelaki warga tempatan yang aktif melakukan kegiatan samun bersenjata menggunakan parang dan pisau di sekitar Pekan Nanas dan bandar Pontian ditahan dalam operasi khas pada 25 September lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, suspek yang berusia 25 dan 29 tahun itu menggunakan parang dan pisau buatan sendiri daripada paip yang ditulis perkataan 'terbaik bossku' menggunakan pewarna putih.

Katanya, dalam operasi khas itu juga beberapa barangan samun antaranya lapan buah telefon bimbit, sebuah motosikal Honda EX5 serta dua nombor pendaftaran motosikal palsu turut dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM20,000.

"Pada September lalu operasi diadakan bagi mengesan suspek yang terlibat berikutan kejadian samun bersenjata berlaku di kedai serbaneka 24 jam, pam minyak, kedai telekomunikasi dan kedai herba.

"Hasil rakaman CCTV dan maklumat orang awam, kedua-dua suspek berjaya dikesan dan ditangkap," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian di sini hari ini.

Mustafa berkata, kedua-dua suspek aktif menyamun ketika premis perniagaan ditutup sekitar jam 10 malam.

"Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati kedua-dua positif dadah.

"Reman ke atas suspek selama tujuh hari yang berakhir hari ini disambung lagi lima hari. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 kanun keseksaan yang boleh dikenakan penjara 20 tahun dan sebatan," katanya.

Artikel Berkaitan: