X

Kindly register in order to view this article
!

Kemudi bantu 19 kakitangan Utusan Kelantan

Shahnun (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Yatimin di sini.
A
A

KOTA BHARU - Cubit paha kanan, paha kiri terasa jua. Itulah yang diibaratkan dengan perasaan media Kelantan apabila ada di antara rakan mereka daripada Utusan Malaysia berdepan masalah gaji baru-baru ini.

Namun atas semangat setiakawan dan kekeluargaan, Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) hari ini tampil menghulurkan bantuan wang ringgit bagi meringankan beban ditanggung mereka.

Timbalan Presiden Kemudi, Shahnon Hanif Abdullah Suhaimi berkata, usaha tersebut hanyalah perkara biasa jika dibandingkan dengan semangat kental kakitangan Utusan yang masih teguh melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

“Seramai 19 kakitangan Utusan Melayu di negeri ini menerima sumbangan dan kami sentiasa prihatin dengan nasib melanda mereka yang sudah dianggap seperti adik-beradik sendiri.

"Kami juga sedang berusaha untuk mencari penyelesaian terhadap masalah ini termasuklah campur tangan daripada kerajaan negeri. Insya-ALLAH saya berharap semua rakan-rakan bersabar dengan ujian ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan tersebut di Rumah Wartawan Kelantan di Taman Sari di sini. Turut hadir Setiausaha Agung Kemudi, Rosmiza Kasim dan ketua-ketua biro agensi media di negeri itu.

Sebelum ini lebih 100 kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad mengadakan piket di luar bangunan syarikat akhbar itu di Kuala Lumpur bagi menuntut gaji yang tertunggak sejak beberapa bulan lalu.

Isu kelewatan bayaran gaji menyebabkan kakitangan syarikat itu berdepan kesukaran untuk menguruskan perbelanjaan harian.

Sementara itu kakitangan Utusan yang ditemui, Yatimin Abdullah juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Kemudi dan rakan-rakan media kerana membantu mereka.

"Usaha yang dilakukan Kemudi amat kami hargai dan semoga ALLAH SWT dapat membalas semua jasa baik rakan-rakan seperjuangan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus