X

Kindly register in order to view this article
!

Rompak: Dua lelaki ditahan menyamar polis

A
A

CHUKAI - Dua lelaki ditahan selepas disyaki menyamar sebagai polis untuk melakukan rompakan di sebuah rumah di Kampung Pondok Pasir di sini Ahad lalu.

Kedua-dua suspek berusia 21 dan 26 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman kira-kira jam 11 malam kelmarin di Bukit Kuang di sini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dua suspek ini dipercayai antara enam ahli Geng Adik-Beradik yang dicari kerana disyaki aktif melakukan penyamaran dan rompakan di daerah ini.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam kedua-dua suspek bersama empat lagi rakan mereka yang masih bebas datang ke rumah mangsa menaiki sebuah kereta Perodua Myvi.

"Dua daripada mereka turut memakai vest dengan tulisan 'polis' memaklumkan perlu menggeledah rumah mangsa untuk mencari beberapa barangan berkait siasatan kes jenayah.

"Tanpa menunjukkan kad kuasa, suspek kemudian menggeledah rumah dan bilik tidur. Mangsa berusia 24 tahun yang panik hanya membiarkan anggota 'polis' itu menjalankan tugas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hanyan berkata, beberapa minit kemudian suspek 'merampas' dua telefon bimbit dan wang tunai RM200 malah sebelum beredar suspek turut mengambil sebuah motosikal Yamaha 125Z milik mangsa.

"Suspek sempat memberitahu mangsa kononnya motosikal itu terbabit kes jenayah sebelum beredar menaiki dua kenderaan termasuk sebuah Perodua Myvi manakala seorang suspek menunggang motosikal yang 'dirampas'," katanya

Beliau berkata, mangsa yang tertanya-tanya mengenai status barangannya kemudian ke Pondok Polis Ibok, di sini jam 11 pagi keesokannya sebelum terkejut dimaklumkan tiada pemeriksaan atau rampasan dilakukan pihak polis.

Katanya, susulan kejadian mangsa membuat laporan di Balai Polis Ayer Jerneh untuk tindakan lanjut selepas menyedari menjadi mangsa penipuan dan rompakan.

"Siasatan lanjut dan gerakan operasi memburu suspek dilancarkan sebelum berjaya menahan dua daripada enam penjenayah itu malam kelmarin," katanya.

Hanyan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384/170 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan menyamar sebagai penjawat awam.

"Selain itu kita turut melakukan siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!