X

Kindly register in order to view this article
!

Prof Dr Faisal Rafiq dilantik Naib Canselor USM

Logo USM
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan pelantikan Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) baharu berkuat kuasa 4 Oktober 2019 hingga 3 Oktober 2022.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan Prof Faisal Rafiq, 44, itu dibuat berdasarkan syor Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam pada 4 September lepas.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Tan Sri Zarinah Anwar dan dianggotai Tan Sri Wahid Omar, Tan Sri Dr Lin-See Yan, Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Razak dan Dr Andrew Aeria.

Kementerian Pendidikan berkata, pelantikan itu berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaiannya semasa memegang jawatan pentadbiran utama iaitu Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Malaya (UM) selama enam tahun dan jawatan sebelum itu sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Kementerian percaya beliau akan dapat memacu kecemerlangan USM ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Kementerian Pendidikan berkata, sebagai Pengurusan Tertinggi UM, Faisal Rafiq terlibat dalam meningkatkan kecemerlangan dan ketampakan UM di peringkat global apabila UM menduduki tempat ke-70 dalam kedudukan 100 terbaik dunia berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2020.

UM juga telah dinobatkan berada di kedudukan ke-10 kalangan universiti-universiti global dalam bidang kejuruteraan seperti yang diumumkan U.S. News dalam penerbitan U.S. News 2018 Best Global Universities Ranking.

Semasa memegang portfolio Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UM, antara inovasi yang dilaksanakan beliau adalah pengurusan air dan sisa, penyelidikan serta pendidikan bagi pembangunan yang mampan sehingga memperoleh pengiktirafan Most Sustainable (Greenest) City Centre University in Asia oleh UI Green Metric pada 2017 dan 2018.

Faisal Rafiq juga telah berjaya mengkomersialkan produk penyelidikan melalui spin-off beliau, Flexilicate Sdn Bhd.

"Kementerian berharap agar pelantikan tersebut dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau untuk kecemerlangan USM dan seterusnya merealisasikan visi USM untuk menjadi universiti penyelidikan yang terkemuka di peringkat global,” kata Kementerian Pendidikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Petisyen tempoh perkhidmatan Prof Asma diteliti: Maszlee

Kementerian Pendidikan dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada bekas Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Asma Ismail atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sejak 4 Oktober 2016 hingga 3 Oktober 2019.

Asma kini menggalas tanggungjawab yang lebih besar sebagai Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!