Saya masih terkilan dengan Peguam Negara : Syazlin Mansor

A
A

1-Saya masih terkilan dengan Peguam Negara : Syazlin Mansor

Peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, Syazlin Mansor tetap terkilan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas meskipun keputusan inkues Adib berpihak kepada keluarga Allahyarham.

Syazlin meluahkan rasa terkilan itu apabila mengenangkan tuduhan yang telah dilemparkan terhadap beliau termasuk suaminya yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pada ketika itu.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Sinar Live di sini, semalam.

2-Bekas CEO 1MDB terima gaji RM80,000 sebulan, bonus 18 bulan gaji

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, memberitahu Mahkamah Tinggi semalam bahawa beliau menerima bonus 18 bulan gaji pada tahun 2012 semasa gajinya RM80,000 sebulan.

Beliau juga turut menerima bayaran sebagai anggota lembaga pengarah, elaun yang sama seperti lain-lain anggota lembaga, yang berjumlah RM179,000 setahun dan RM1,500 setiap mesyuarat.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-16 perbicaraan berkaitan 1MDB yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

3-Kerajaan sedia bantu perkukuh sektor pembuatan: Wan Azizah

Peranan sektor pembuatan perlu diperkukuhkan terutamanya bagi menangani persekitaran yang menyaksikan peningkatan dasar perlindungan serta landskap perdagangan yang tidak menentu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan percaya masih ada banyak ruang bagi pengembangan sektor itu walaupun mencatat banyak pencapaian setakat ini termasuk nilai tambah yang penting memandangkan sumbangannya kepada ekonomi adalah sekitar 22 peratus.

4-Bumbung pangsapuri tercabut hempap 10 kenderaan

Hujan lebat disusuli ribut petang tadi menyebabkan bumbung di Blok D Pangsapuri Desa Rejang di Kuala Lumpur tercabut dan menghempap kira-kira 10 kenderaan yang diletakkan di bahagian parkir.

Kejadian itu dikongsi orang awam menerusi video berdurasi 13 saat di laman sosial Facebook menunjukkan keadaan hujan lebat dan keadaan bumbung tercabut di tingkat 19 pangsapuri berkenaan.

Menurut Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Kapten Shahrul Kamar Mohd Johari, kejadian berlaku sekitar jam 4.45 petang dan satu pasukan terdiri empat anggota telah dihantar ke lokasi kejadian.

5-Bayern mengamuk di Stadium Tottenham Hotspur

BAYERN Munich mengamuk dalam aksi kedua peringkat kumpulan Liga Juara-Juara awal pagi tadi selepas membenam Tottenham Hotspur, 7-2.

Gol jaguh Jerman itu disumbangkan masing-masing Serge Gnabry melalui empat gol, Robert Lewandowski (dua gol) dan Joshua Kimmich (satu gol).

Bertandang ke Stadium Tottenham Hotspur, pasukan bimbingan Niko Kovac dikejutkan dengan jaringan pertama tuan rumah melalui jaringan pemain bintang Korea Selatan, Heung-Min Son pada minit ke-12.