Seorang maut, 10 cedera kolej di Finland diserang lelaki bersenjata

Kereta polis berada di kawasan pusat beli-belah Herman di Kuopio Finland susulan serangan bersenjata yang meragut satu nyawa. - Foto: AFP
Kereta polis berada di kawasan pusat beli-belah Herman di Kuopio Finland susulan serangan bersenjata yang meragut satu nyawa. - Foto: AFP
A
A
A

HELSINKI - Seorang lelaki bersenjatakan pedang dilaporkan menyerang pelajar di sebuah sekolah vokasional di timur Finland semalam.

Menurut polis, serangan meragut satu nyawa dan mencederakan 10 yang lain termasuk seorang polis.

Saksi berkata, seorang pemuda bersenjata pedang menyerbu masuk ke dalam sebuah kelas.

Perkhidmatan kecemasan segera dihantar ke Kolej Vokasional Savo terletak di pusat membeli belah Herman timur bandar Kuopio pada jam 12:29 tengah hari (waktu tempatan).

"Suspek membawa senjata seperti pedang," kata Detektif Superintenden, Mikko Lyytinen dari Polis Timur Finland sambil menambah suspek turut membawa pistol.

Kenyataan polis memaklumkan suspek ditembak ketika ditahan dan kini menerima rawatan di Hospital Universiti Kuopio.

Pihak berkuasa belum menamakan suspek namun mengenal pastinya sebagai warga Finland dilahirkan pada tahun 1994 dan berdaftar sebagai pelajar di kolej berkenaan.

Sementara itu laporan saksi dalam media Finland berkata, penyerang mengamuk dalam sebuah kelas.

Artikel Berkaitan:

"Dia memukul leher seorang gadis dengan pedang dan menikamnya di perut," kata seorang saksi kepada akhbar Keskisuomalainen.

Dalam pada itu Lyytinen berkata, siasatan di rumah suspek menemukan bahan yang boleh digunakan untuk membuat molotov cocktail.

Polis turut merampas komputer suspek bagi menyiasat motif di sebalik serangan. - AFP