Ramai anak Malaysia genius tapi...

No Image Caption
A
A
A

SEKIRANYA diselidiki, sebenarnya banyak inovasi penyelidikan dan teknologi yang dicetus dan diperbaharui oleh anak Malaysia.

Ia bukan sahaja bermula pada peringkat institusi pengajian tinggi malah dari usia yang masih remaja. Terdapat pelajar yang cukup kreatif merintis idea-idea baharu sejak di sekolah menengah lagi.

Lebih membanggakan, ada antara mereka memenangi pelbagai anugerah baik dari dalam negara hingga ke peringkat antarabangsa.

Sebagai contoh, penulis mengembalikan semula ingatan rakyat Malaysia terhadap teknologi futuristik yang dibangunkan oleh seorang penyelidik tempatan bernama Dr Sazrinee Zainal Abidin.

Dr Sazrinee bersama pasukannya pernah mencuri perhatian negara apabila membikin Putrajaya Cell City Car pada tahun 2010.

Teknologi kereta kompak elektrik berteknologi itu dikatakan mampu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas dan kepadatan tempat letak kereta di Putrajaya.

Kenderaan itu hampir menyamai saiz seperti kereta Perodua Kancil dengan kemudahan tiga tayar berkapasiti dua tempat duduk selain berkemampuan untuk memecut sehingga 150 kilometer per jam.

Dengan hanya menggunakan tenaga elektrik, teknologi automotif itu mampu bertahan selama dua hari meskipun melalui kawasan berbukit. Bagaimana? Canggih bukan?

Artikel Berkaitan:

Sememangnya apa yang dilakukan penyelidik berkenaan bertepatan dengan gagasan kerajaan yang mahu mewujudkan bandar bebas karbon menjelang tahun 2030.

Namun, tidak tahu mana silapnya, inisiatif pereka cipta di negara kita seperti tidak diendahkan. Tiada siapa peduli mengenainya. Reka ciptanya seperti seperti sudah ‘dikambuskan’.

Persoalannya mengapa hal itu terjadi? Adakah apa yang dihasilkan anak tempatan tidak cukup bagus? Adakah sudah resam orang kita lebih menghargai kemampuan Barat? Atau adakah disebabkan kekangan dana atau kos untuk memasarkan inovasi berkenaan?

Seperti yang dikatakan Dr Sazrinee, kos untuk membangunkan prototaip kereta elektrik itu pun bukanlah sedikit ditambah memerlukan sokongan dan komitmen ramai pihak termasuk pihak kerajaan.

“Bayangkan, untuk menghasilkan kereta elektrik pun bukannya mudah, inikan pula mahu cipta kereta terbang yang pastinya memerlukan kos yang besar.

“Disebabkan dana yang terhad, agenda untuk membangunkan teknologi kereta elektrik itu terpaksa ditangguhkan dahulu,” keluhnya kepada penulis baru-baru ini.

Melihat situasi itu, penulis sangat berharap prototaip kereta terbang yang diperkenalkan Aerodyne Group iaitu Vector diharap dapat menjadi satu pengangkutan udara nasional seperti yang diuar-uarkan awal tahun ini.

Isu masalah dana penyelidikan turut dibangkitkan seorang saintis Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohd Basyaruddin Abdul Rahman. Beliau merupakan seorang penyelidik yang diiktiraf dunia kerana penyelidikan hebatnya. Antaranya ialah Peptida Antibeku.

Teknologi itu dihasilkan dalam jangka masa yang agak lama iaitu bermula pada tahun 2006 hingga 2015.

Pun demikian, Dr Mohd Basyaruddin berdepan satu masalah utama iaitu pihaknya tidak dapat menghasilkan inovasi itu dalam kuantiti banyak kerana teknologi yang terhad.

“Kalau diikutkan, Peptida Antibeku saya bersama rakan penyelidik lain sudah bersedia untuk dipasarkan secara global. Jepun telah menunjukkan minat untuk mendapatkannya untuk industri makanan mereka meskipun ketika itu masih di peringkat prototaip.

“Sayangnya, seperti yang saya katakan tadi, teknologi yang terhad (disebabkan kekangan kos) menyebabkan segala usaha terpaksa dilupakan buat sementara waktu,” katanya.

Demikian keluh-kesah penyelidik-penyelidik genius di Malaysia. Idea sudah dirintis, namun untuk mengkomersialkan produk mereka ke peringkat lebih tinggi menemui jalan buntu.Justeru, bagi penulis, bagi menangani permasalahan golongan saintis mahupun penyelidik, kerajaan perlu memikirkan satu pendekatan holistik untuk membantu mereka.

Ya, untuk melaksanakan penyelidikan, setiap universiti rasanya sudah mempunyai geran. Namun, kemelut terbesar mereka bagaimana mahu memperluaskan inovasi ke peringkat lebih tinggi dan diaplikasi oleh industri mahupun pengguna.

Sehingga kini, nampaknya belum ada jalan lagi.

Dalam hal itu, kita secara jelas dapat melihat, bukannya anak Malaysia tidak kreatif atau tidak bijak, namun disebabkan kekangan kewangan, hasil reka cipta mereka tidak dapat pergi jauh.

Besar harapan penulis agar kerajaan dapat berbuat sesuatu demi masa depan negara yang lebih cemerlang.

*Arziana Mohmad Azaman ialah wartawan Rencana e-Trend Sinar Harian