Hanya kerana secawan teh tarik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KITA selalu dengar orang bergaduh kerana isu wang ringgit. Adik-beradik boleh berpecah belah akibat berebut harta pusaka. Tetapi apa yang berlaku depan mata saya sangat mengejutkan. Hanya kerana secawan teh tarik, meja makan di sebuah restoran hampir terbalik kena hentak penumbuk buku lima!

Kasihan melihat si tukang bawa air yang terkulat-kulat dimaki hamun pelanggan. Wanita berusia sekitar 50an itu nampak sangat sedih, takut, malu atau mungkin terkejut dengan apa yang berlaku. Bayangkan tak sampai berapa saat dia meletakkan cawan di hadapan pelanggan, tiba-tiba dia dipanggil dan ditengking tanpa belas kasihan.

Tak perlulah dinyatakan apa nama restorannya, siapa si tukang bawa air dan siapa pelanggan yang panas baran itu. Pelanggan itu naik berang apabila air yang dipesan kurang manis. Wanita itu dengan air muka redup tunduk hormat mengambil semula cawan dan dibawa ke dapur.

Dengan hormatnya juga wanita itu kembali ke meja sambil menyebut kata-kata ‘maaf’. Pelanggan itu? Ya akhirnya dia seperti tidak ada apa-apa yang berlaku, minum dan menyambung makan dengan senyap bersama anaknya yang memakai seragam tadika. Jelas, secawan teh tarik yang tidak cukup perisa mampu menjadikan manusia tidak berhemah!

Apa yang berlaku itu bukan sandiwara tetapi realiti sikap manusia hari ini. Mendepani arus zaman yang semakin moden dan berteknologi tinggi, masih ramai manusia yang bersikap kelas bawah.Kita mungkin pernah mendengar pujian, orang Malaysia dikatakan berbudi bahasa dan bersopan santun.

Orang kita tidak pernah memanggil individu yang lebih berusia berdasarkan nama seperti mana budaya negara barat. Semua lelaki berusia tak kira apa bangsa, kita gelarkannya sebagai ‘pakcik’ atau ‘uncle’.

Barangkali juga pelanggan itu berada dalam keadaan tekanan. Namun, adalah lebih manis jika panggilan ‘hoi’ itu ditukar kepada ‘makcik’ atau ‘kakak’. Jangan kerana secawan teh tarik, kita ke penjara! Siapa kita adalah cerminan diri anak-anak kita.

Artikel Berkaitan: