Janji dalam Islam

A
A
A

LEMBU diikat dengan tali dan manusia diikat dengan janji. Begitulah ungkapan pepatah Melayu dalam menunjukkan betapa pentingnya janji dalam kehidupan.

Sebagai manusia, mustahil untuk diikat dengan tali kerana kita punya akal, hati dan iman. Kita diikat dengan janji kerana pada akal lahirnya janji, pada hati janji diingati dan pada iman janji ditunaikan.

Tetapi pengikat kita ini bersifat fleksibel kerana tapisan agama perlu dilepasi, kesantunan adat perlu dijaga dan hak manusia perlu dilindungi. Jadi, sudah pasti janji adalah satu perkara penting yang perlu dibincangkan dengan lebih terperinci dalam skop kehidupan Muslim.

Janji dipanggil janji apabila ia disampaikan dan diterima oleh penerima. Tanpa komunikasi, janji hanya dikira niat dan tidak menjadi kewajipan untuk ditunaikan. Janji apabila dikomunikasi, perlu diterima oleh penerima janji.

Contohnya, si A berjanji bagi pihak kerajaan untuk memberikan subsidi minyak petrol bagi membantu golongan yang memerlukan. Selaku kerajaan yang mentadbir hasil mahsul negara, sudah pasti apabila suatu belanjawan itu dibentang dan diluluskan ramai, si B yakin bahawa ia dapat ditunaikan. Maka si B secara beramai-ramai menyokong si A dengan keyakinan terhadap kemampuannya.

Tindakan si B itu adalah petanda bahawa janji si A telah dikomunikasi dan diterima dengan baik. Nah, di situ janji telah terbentuk.

Sekiranya tidak diterima maka janji tersebut tidak akan terbentuk dan ia kekal sebagai niat. Tiada takrifan khusus kepada pejanji selama mana janji tersebut tidak terbentuk.

"Ayah janji ya, hujung minggu ini belikan saya sebuah kereta kontrol warna hijau," tuntut seorang anak kepada si ayah. Si ayah hanya diam sambil mengangguk. Dalam fikirannya dia sedang merancang bagaimana mahu memenuhi janji itu atau hanya dibiarkan sahaja dengan harapan si anak akan melupakannya.

Artikel Berkaitan:

Bagi si anak pula, anggukan ayah tadi cukup bermakna kerana ia petanda setuju dan janji telah dimeterai. Namun, ia masih belum muktamad bagi si ayah sungguhpun secara fizikalnya dia telah dianggap sebagai setuju. Inilah yang sering berlaku apabila komunikasi janji tidak berlaku dengan baik dan tidak di atas persetujuan antara satu sama lain.

Perjanjian haram

Islam tidak mengiktiraf perjanjian terhadap perkara haram yang membawa kepada kederhakaan kita kepada ALLAH SWT. Perjanjian merupakan kaedah atau alat bagi kita untuk mencapai sesuatu tujuan.

Andai tujuan yang ingin dicapai itu haram, maka secara tidak langsung perjanjian yang diadakan juga akan menjadi haram sungguhpun kaedah perjanjian yang dibuat telah memenuhi syarat-syarat perjanjian.

Contohnya, seorang pencuri berjanji dengan temannya untuk bertemu di sebuah masjid dengan tujuan untuk mencuri kasut jemaah masjid. Perjanjian itu telah memenuhi syarat ijab dan kabul serta mempunyai saksi. Namun, tujuannya adalah haram maka secara tidak langsung perjanjiannya juga adalah haram.

Begitu juga dalam urusan harian seperti perjanjian pinjaman yang bukan Islami dengan tujuan untuk pembelian keperluan kehidupan seperti rumah dan kereta. Ia nampak sah dari sudut perundangan dunia, namun haram dari sudut agama.

Ini kerana pinjaman yang bukan Islami didasari kepada kaedah riba dan ia adalah haram dalam Islam.

Persetujuan dalam perjanjian oleh pemberi dan penerima tidak menjadi alasan untuk menghalalkan perkara yang haram. Masyarakat hendaklah mengetahui bahawa wujudnya pengharaman adalah untuk mengelakkan bencana besar yang sudah diketahui oleh ALLAH SWT yang Maha Pencipta dan Maha Penjaga. Tidak dinafikan bahawa dalam satu-satu perkara haram itu ada kebaikan, namun keburukannya adalah lebih besar.

Bagaimanapun, perjanjian di atas perkara halal dan baik juga boleh menjadi haram sekiranya terdapat dalam perjanjian itu unsur-unsur penipuan (maisir) dan ketidaktentuan (gharar).

Kedua-dua unsur tersebut akan mewujudkan ketidakadilan dalam perjanjian dan akan menganiayai salah satu pihak.

Mudahnya Islam kerana perjanjian yang termeterai dan terlaksana menjamin keadilan dan kesamaan hak. Tidak ada yang akan teraniaya dan menganiaya. Jaminan Islam merupakan jaminan keselamatan.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia