Bayi perlu RM25,000 bedah jantung

Chean Chung menghulurkan sumbangan kepada Rozita ketika melawat Maya Alisha yang menghidapi komplikasi jantung di rumahnya di Taman Indera Mahkota 8.
Chean Chung menghulurkan sumbangan kepada Rozita ketika melawat Maya Alisha yang menghidapi komplikasi jantung di rumahnya di Taman Indera Mahkota 8.
A
A
A

KUANTAN - Seorang bayi perempuan berusia 18 bulan, Maya Alisha Mohd Hasrol yang mengalami komplikasi jantung memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM25,000 bagi menampung kos pembedahan.

Ibunya, Rozita Radzi, 33, berkata, anak keenamnya itu menderita saluran jantung berlubang dan tersumbat sejak lahir serta perlu menjalani pembedahan secepat mungkin atas nasihat doktor.

Menurutnya, saluran pernafasan Maya Alisha semakin sempit dan perlu menjalani pembedahan segera bagi mengelak kandungan oksigen semakin menurun.

"Maya kena dibedah. Kalau ikut temujanji dengan Institusi Jantung Negara (IJN) pembedahan itu perlu dijalani 21 Oktober ini.

"Tapi saya tiada wang sebanyak itu dan saya hanya ada RM1,000 itu pun hasil sumbangan orang ramai. Jadi kalau boleh bantulah anak saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Indera Mahkota 8 di sini.

Hadir melawat Maya Alisha ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung.

Rozita berkata, pembedahan perlu dilakukan bagi membuka saluran pernafasan yang sempit dan doktor meminta agar ia disegerakan.

"Dah beberapa kali saya tangguh perkara ini (rawatan) sebab memikirkan kewangan. Saya dan suami, Mohd Hasrol Hasan, 37, berniaga untuk tampung kehidupan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi mahu kumpul wang sebanyak itu tidak mampu kerana perlu menyara enam lagi anak yang masih kecil dan bersekolah," katanya.

Rozita berkata, sekiranya pembedahan pertama berjaya dilakukan, kemungkinan pembedahan kedua dilakukan bagi menampal jantung anaknya yang berlubang itu

Katanya, bagaimanapun, kos bagi rawatan pembedahan itu dianggarkan bernilai hampir RM60,000.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Rozita melalui akaun Maybank 156094414390 atau boleh hubungi talian 01111033943.