Kerajaan sedia bantu perkukuh sektor pembuatan: Wan Azizah

Dr Wan Azizah berucap pada majlis makan malam Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia kali ke-51 di sini malam ini. -Foto Bernama
Dr Wan Azizah berucap pada majlis makan malam Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia kali ke-51 di sini malam ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peranan sektor pembuatan perlu diperkukuhkan terutamanya bagi menangani persekitaran yang menyaksikan peningkatan dasar perlindungan serta landskap perdagangan yang tidak menentu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan percaya masih ada banyak ruang bagi pengembangan sektor itu walaupun mencatat banyak pencapaian setakat ini termasuk nilai tambah yang penting memandangkan sumbangannya kepada ekonomi adalah sekitar 22 peratus.

Menurutnya, kerajaan juga bersedia memberi galakan dan sokongan diperlukan kepada pelabur dalam sektor utama ekonomi itu bagi memberi kesan peralihan paradigma.

"Kita perlu berganjak daripada ekosistem pembuatan masa kini yang banyak bergantung kepada buruh dan modal.

"Oleh itu, kita menggesa para pengilang untuk beralih kepada industri berintensifkan pengetahuan, kemahiran dan teknologi tinggi serta nilai tambah tinggi yang turut membabitkan sektor pertumbuhan baharu," katanya ketika berucap pada majlis makan malam Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia kali ke-51 di sini malam ini.

Wan Azizah berkata, ini juga seiring dengan objektif Industri 4.0 yang akan menyokong pencapaian matlamat Kemakmuran Bersama.

Menurutnya, pelaburan dalam sektor pembuatan sewajarnya menyasarkan untuk menjadikan Malaysia beralih daripada sebuah negara pengguna kepada negara pengeluar.

"Sebagai majikan, pemilik perniagaan perkilangan boleh mencapai hasil secara bersama menerusi kemahiran semula dan peningkatan kemahiran pekerja mereka melalui tawaran ganjaran yang dapat memberi motivasi dan meningkatkan inovasi pekerja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, aspek kecekapan dan sikap kerja yang baik juga sewajarnya mendapat ganjaran dan dapat meningkatkan taraf hidup pekerja.

Kerajaan juga, katanya, amat maklum dengan kebimbangan industri mengenai kekurangan bekalan tenaga kerja mahir serta disiplin kerja yang rendah, khususnya dalam kalangan belia.

Beliau berkata, usaha sedang dilakukan bagi meningkatkan kemahiran lulusan universiti dengan 38 kursus digugurkan daripada universiti awam kerana dilihat tidak relevan dengan keadaan semasa atau dapat memenuhi keperluan industri.

"Saya meminta pihak berkepentingan untuk membantu kerajaan dengan terus memberikan komitmen bagi tujuan pelaburan dan menjadikan pertumbuhan ekonomi lebih inklusif.

"Selain itu, saya juga berharap anda semua dapat menyediakan platform bagi kalangan siswazah muda kita bekerja dan mencatat kemajuan bersama perniagaan anda," katanya.- Bernama