KBS sokong PKBM dapatkan status HC 2.0 LTDL

Syed Saddiq (tengah) bersama Timbalannya, Steven Sim Chee Keong bergambar bersama para tetamu pada Majlis Pelancaran Bulan Sukan Negara 2019 hari ini. - Foto Bernama
Syed Saddiq (tengah) bersama Timbalannya, Steven Sim Chee Keong bergambar bersama para tetamu pada Majlis Pelancaran Bulan Sukan Negara 2019 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan memberikan sokongan penuh kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam usahanya mendapatkan kembali status 2.0 Hors Class (HC) bagi perlumbaan berbasikal, Le Tour de Langkawi (LTdL).

Perlumbaan utama negara yang bermula sejak 1996 dilaporkan hilang status 2.0 HC kerana ketiadaan penyertaan pasukan Jelajah Profesional (Pro Tour) dunia di bawah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, langkah-langkah sedang diambil untuk memastikan LTdL akan menjadi perlumbaan berbasikal terbaik tahun depan.

Beliau berkata, penganjur acara itu juga melihat untuk melebarkan perlumbaan itu ke Sabah dan Sarawak, yang kali terakhir diadakan pada 1997.

“Saya dengar mereka akan merayu untuk mendapatkan kembali status berkenaan. Pada masa yang sama kami memberikan sokongan penuh bagi memastikan penganjuran LTdL tahun hadapan adalah yang terbaik.

"Mereka mahu menjadikannya lebih inklusif dan berharap ia akan mencetus lebih banyak kemajuan dalam pembangunan industri berbasikal di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Sukan Negara di Putrajaya hari ini.

Syed Saddiq berkata, Human Voyage Sdn Bhd, kekal selaku penganjur edisi ke-25 LTdL berdasarkan kontrak selama tiga tahun.

Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh baru-baru ini dilaporkan berkata, status perlumbaan LTdL akan diturunkan kepada UCI 2.1, tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif UCI mendedahkan antara punca status LTdL diturunkan kerana ketiadaan pasukan jelajah profesional dunia dalam perlumbaan tahun ini.

Kali terakhir LTdL melibatkan Malaysia Timur ialah pada 1997. Cabaran logistik dan kos yang tidak menggalakkan menjadikan ia sukar untuk dianjurkan di Sabah dan Sarawak di dalam perlumbaan itu sebelum ini. - Bernama