Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia dijangka ditubuh dalam 2 tahun

Mujahid
Mujahid
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia dijangka ditubuhkan dalam tempoh dua tahun bagi mewujudkan pengasingan kuasa antara Jabatan Pendakwaan dan Jabatan Kehakiman Syariah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata, jabatan itu akan mengawal selia semua perkara berkaitan pendakwaan syariah di Malaysia termasuk pengurusan dan tadbir urus, kemahiran pendakwa syarie, penyeragaman undang-undang jenayah syariah serta pelaksanaan proses dan prosedur perundangan.

Menurutnya, setakat ini Jabatan Pendakwaan Syariah telah ditubuhkan di peringkat Wilayah Persekutuan dan menjadi hasrat agar jabatan pendakwaan di peringkat Persekutuan ditubuhkan memandangkan pada masa ini jabatan pendakwaan negeri-negeri adalah di bawah Jabatan Kehakiman Syariah.

Untuk itu, Mujahid berkata, satu kertas kerja mengenai pembentukan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia akan dibentangkan pada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) pada tahun depan.

"Selepas MKI kita bawa kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapatkan perkenan dan seterusnya barulah kita boleh buat libat urus di peringkat negeri-negeri," katanya kepada media selepas menghadiri Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia 2019 di sini hari ini.

Mengenai persidangan itu Mujahid berkata, ia diadakan bagi memperkukuh pemahaman dan pengetahuan pendakwa syarie terhadap isu-isu perundangan syariah dalam negara, selain mempersiapkan mereka dengan maklumat terkini ke arah penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: