Bahasa gerak-geri menunjukkan Najib, Jho Low positif, selesa

Jho Low dan Najib
Jho Low dan Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa daripada bahasa gerak-geri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, beliau yakin kedua-duanya 'positif dan amat selesa' antara satu sama lain.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata, ini berdasarkan kepada pemerhatian beliau apabila Jho Low berada di rumah Najib pada banyak waktu.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-16 perbicaraan Najib berhubung dana 1MDB.

"Berdasarkan kepada bahasa gerak-geri dan kebiasaan Jho Low dengan bukan sahaja susun atur rumah Najib bahkan cara dia berkomunikasi dengan saya mengenai anggota keluarga Najib membuatkan saya percaya beliau amat rapat,” katanya.

Sri Ram: Ada anda menghadiri sebarang majlis di mana Jho Low dan anggota keluarga tertuduh hadiri?

Shahrol Azral: Tidak

Sri Ram: Berapa kali anda melihat tertuduh berada di rumahnya? Kurang 100 ?

Shahrol Azral: Jika saya tidak silap, kurang 20 kali.

Artikel Berkaitan:

Sri Ram: Setiap majlis itu, adakah Jho Low hadir di rumah tertuduh?

Shahrol Azral: Jho Low hadir pada beberapa majlis, tetapi tentunya bukan semua.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di cawangan AmIslamic Bank Berhad Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin. - Bernama