Ummah terus desak Tommy Thomas letak jawatan

Aminuddin (tengah) pada sidang media di Taman Melawati di sini hari ini.
Aminuddin (tengah) pada sidang media di Taman Melawati di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) semalam sekali lagi mendesak Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas meletakkan jawatan atau dipecat sekiranya enggan berbuat demikian.

Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahaya berkata, gesaan itu dengan alasan Thomas telah mencampuri urusan mahkamah dengan mengemukakan afidavit yang akhirnya bertentangan dengan kes inkues membabitkan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Katanya, Thomas juga akan dihadapkan atas tuduhan prosiding komital yang merupakan pertama kali dalam sejarah negara di mana seorang Peguam Negara dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan berkenaan.

"Ini membuktikan seolah-olah beliau ada niat jahat, sengaja ingin memastikan keputusan inkues akan memihak kepada pandangan beliau seperti terkandung dalam afidavit dikemukakan mengatakan bahawa Adib mati disebabkan dilanggar kenderaan bukan disebabkan pembunuhan.

"Ini juga mengesahkan bahawa beliau bukan seorang yang kompeten dalam mengendalikan kes-kes jenayah mengakibatkan kes Adib terpaksa menjalani proses inkues begitu lama dan menjadi trauma kepada keluarga Adib sendiri," katanya pada sidang media hari ini.

Aminuddin berkata, rakyat juga bimbang dengan ketidakcekapan Thomas akan mengakibatkan banyak lagi kes-kes jenayah tidak akan mendapat pengadilan yang sewajarnya.

Katanya, dalam keputusan inkues hakim telah mengarahkan polis dan Peguam Negara mengambil tindakan kerana terdapat unsur-unsur jenayah yang menyebabkan kematian Muhammad Adib.

"Namun dengan keberadaan Thomas di jawatan berkenaan (sebagai Peguam Negara) maka dibimbangi bahawa proses perbicaraan nanti tidak akan memberikan keadilan sebenar kepada Adib.

Artikel Berkaitan:

"Jika sebelum ini beliau pernah mencampuri proses inkues maka ada kemungkinan besar beliau akan juga mengganggu gugat semasa proses pendakwaan dan perbicaraan berjalan nanti," katanya.

Dalam pada itu Ummah turut mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy mengambil langkah sama kerana kenyataannya yang menghasut pada awal insiden rusuhan kuil sehingga menyebabkan insiden yang tercetus semakin meruncing.