Budak 2 tahun terbunuh dicampak dari tingkap

Jiya Ansari, 2, maut dicampak keluar dari tingkap pangsapuri. - Foto Indianexpress.com
A
A

MUMBAI - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun di India mati apabila dicampak dari tingkap rumah oleh nenek tirinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 hingga 5.45 pagi Sabtu lalu, Jiya Ansari dicampak keluar dari tingkap dapur pangsapuri enam tingkat yang terletak di timur Malad.

Ahli keluarga mangsa dikejutkan oleh jiran mereka pada awal pagi setelah ternampak mayat kanak-kanak malang itu di bawah pangsapuri dipenuhi kesan darah.

Mereka kemudian bergegas ke hospital berdekatan namun doktor mengesahkan mangsa sudahpun meninggal dunia.

Pada mulanya, kanak-kanak itu disyaki terjatuh dari tingkap ketika ahli keluarga sedang tidur tetapi bukti dari tempat kejadian pula sebaliknya.

Siasatan forensik di tempat kejadian mendapati pintu depan dan semua tingkap dapur rumah itu berkunci, menimbulkan rasa curiga tentang bagaimana kanak-kanak malang itu boleh terjatuh.

"Siasatan turut mendapati posisi di mana Jiya jatuh juga seolah dia dicampak keluar," kata jurucakap polis.

Polis percaya terdapat individu di dalam rumah mangsa yang mencampak kanak-kanak itu keluar dari tangkap.

Susulan siasatan terperinci yang dijalankan, polis mendapati tindakan kejam itu dilakukan nenek tiri kanak-kanak itu, Ruksana Obedulla Ansari yang tidak suka dengan kehadiran cucunya.

“Tertuduh tidak suka cucu perempuannya dan sentiasa berasa jengkel apabila dia bermain di rumah.

“Dua puluh hari yang lalu, dia juga dikatakan berselisih faham dengan anak lelaki dan menantunya mengenai masalah itu, malah mengambil keputusan meninggalkan rumah mereka," kata polis.

Bagaimanapun, wanita itu kembali semula ke kediaman mereka pada Jumaat lalu.

Namun kemarahan yang dirasa itu tidak hilang. Pada masa yang sama, kanak-kanak itu difahamkan kurang sihat dan sering menangis serta tidak dapat tidur sehingga diberi ubat.

Wanita berkenaan dikatakan mencampak keluar cucunya dari tingkat enam sebelum mengunci tingkap dan kembali ke bilik tidur seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Ketika disoal siasat, wanita itu mengaku mencampak cucunya pada jam 5.30 pagi pada hari kejadian.

Polis menahan wanita berkenaan pada Isnin atas dakwaan membunuh cucunya. - Agensi