Macam kebal undang-undang pula...

Perokok masih merokok di premis makanan meskipun undang-undang larangan merokok telah dikuatkuasakan.
Perokok masih merokok di premis makanan meskipun undang-undang larangan merokok telah dikuatkuasakan.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Meskipun penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan telah bermula, tinjauan Sinar Harian mendapati masih terdapat segelintir perokok yang tidak mengendahkan larangan itu.

Tinjauan Sinar Harian di restoran 24 jam di sekitar ibu kota mendapati perokok tanpa segan silu menghembuskan asap rokok di meja makan tanpa mengendahkan orang sekeliling.

Apa yang menyedihkan, meskipun sudah tertera notis larangan merokok yang ditampal di setiap sudut restoran berkenaan, perokok tetap berdegil untuk menyedut dan menghembuskan asap rokok mereka.

Lagak mereka seperti kebal undang-undang, langsung tidak mahu menuruti peraturan yang telah ditetapkan kerajaan.

Malah mereka ini memilih meja di sudut yang 'strategik' untuk memudahkan mereka menghisap rokok biarpun berhampiran tempat penyediaan air dan tempat mengambil makananan.

Semua premis makanan di negara ini diwartakan sebagai tempat larangan merokok berkuat kuasa 12 tengah malam tadi, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pindaan pewartaan itu dilaksanakan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004).

Katanya, larangan itu bertujuan melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok.

Menurut Kementerian Kesihatan, perokok hanya dibenarkan merokok di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka.
Artikel Berkaitan:


Peraturan baharu itu juga menetapkan pengusaha dan pemilik kedai makan serta restoran perlu menaikkan tanda larangan merokok selain tidak menyediakan kemudahan untuk merokok seperti bilik khas merokok dan bekas membuang puntung rokok.

Peraturan larangan merokok itu diwarta mengikut Peraturan 11, PPKHT 2004 di mana mereka yang melanggarnya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Bagi pengusaha kedai makan dan restoran yang gagal mematuhi peraturan itu, mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.