Bulan Sukan Negara sasar tarik 5 juta penyertaan: Syed Saddiq

Syed Saddiq (dua dari kanan) menerima penajaan rakan rasmi sempena Bulan Sukan Negara 2019 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd, Idham Nawawi (kanan) pada Majlis Pelancaran Bulan Sukan Negara 2019 hari ini. - Foto Bernama
Syed Saddiq (dua dari kanan) menerima penajaan rakan rasmi sempena Bulan Sukan Negara 2019 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd, Idham Nawawi (kanan) pada Majlis Pelancaran Bulan Sukan Negara 2019 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sambutan Bulan Sukan Negara (BSN) yang bermula hari ini dijangka menarik penyertaan lima juta rakyat menerusi lebih 1,000 aktiviti sukan yang dijalankan sepanjang tempoh sebulan penganjuran.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kementeriannya turut menyediakan dana khas bagi pihak yang menganjurkan acara berkaitan sukan untuk menyemarakkan lagi sambutan.

"BSN mengetengahkan elemen murah, mudah dan menarik manakala pengisian program merangkumi aktiviti sukan rekreasi dan kecerdasan sama ada berbentuk pertandingan, pertunjukan atau riadah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bulan Sukan Negara (BSN) di sini hari ini.

Kemuncak acara ialah sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Kebangsaan yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 Oktober depan di Kuala Lumpur Sports City Bukit Jalil.

Syed Saddiq berkata, BSN kali ini turut memberi tumpuan kepada meningkatkan penglibatan wanita dalam pelbagai aktiviti yang diadakan.

"Ketika ini dana dan aktiviti sukan melibatkan wanita kurang diberi tumpuan... sebab itu untuk pastikan perkembangan sukan berjalan sebaik mungkin, kita perlu pastikan lebih ramai wanita terlibat dalam sambutan kali ini," katanya.

Terdahulu Syed Saddiq mengumumkan Celcom Axiata Bhd dan Al-Ikhsan Sports sebagai rakan rasmi BSN dengan tajaan melebihi RM5 juta. - Bernama

Artikel Berkaitan: