Lori bawa 24 tan asid terbabas

Lori tangki yang membawa 24 tan asid sulfurik komersial terbalik di Slim River hari ini.
Lori tangki yang membawa 24 tan asid sulfurik komersial terbalik di Slim River hari ini.
A
A
A

SLIM RIVER - Sebuah lori tangki membawa muatan bahan kimia terbabas dan terbalik di Kilometer 373 Lebuh Raya Utara - Selatan arah selatan berhampiran susur keluar Tol Slim River di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fazrul Azuan Norman berkata, sepasukan 11 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.53 petang.

"Siasatan mendapati tangki berkenaan membawa cecair asid sulfurik komersial seberat 24 tan dan berlaku kebocoran.

"Oleh kerana sifat asid bersifat menghakis dan berbahaya, anggota bertindak memagar lokasi kejadian sejauh 100 meter," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Menurutnya, lorong kiri dan tengah ditutup untuk keselamatan pengguna lebuh raya.

"Pemandu lori berusia 32 tahun yang mengalami cedera ringan dihantar di Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan.

"Bantuan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Ipoh dipanggil bagi mengawal kebocoran," katanya.

Kejadian itu menyebabkan laluan trafik mula perlahan lebih 1km dari arah Slim River menuju ke Behrang berikutan penutupan lorong kiri dan tengah lebuh raya.

Artikel Berkaitan: