Kemelut Foodpanda: Kementerian pastikan situasi menang-menang

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia akan memastikan situasi menang-menang dicapai bagi menyelesaikan kemelut di antara penghantar makanan Foodpanda dengan pihak pengurusan syarikat terbabit.

Menurut satu kenyataan daripada Unit Komunikasi Korporat Kementerian Sumber Manusia, pihak kementerian telah mengambil maklum isu itu dan proses siasatan mengenai perkara tersebut sedang dijalankan.

"Laporan awal diterima perkara ini berpunca daripada rider (penghantar makanan) Foodpanda tidak berpuas hati dengan tindakan pihak syarikat yang mengambil langkah menukar skim bayaran perkhidmatan kerana didakwa kurangkan pendapatan mereka.

"Kementerian melalui Jabatan Perhubungan Perindustrian (JPP) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) telah mengambil maklum isu itu yang tular.

"Isnin lalu kementerian berjumpa beberapa rider Foodpanda bagi dapatkan maklumat lanjut mengenai isu ini dan petang tadi, pihak JPP Kuala Lumpur dan pegawai-pegawai JTK bertemu pihak pengurusan syarikat terbabit," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan perjumpaan berlangsung di pejabat pengurusan syarikat berkenaan bagi mendapatkan dan mendengar penjelasan tentang perkara-perkara dibangkitkan penghantar makanan.

"Kementerian akan pastikan wujudnya situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak kerana kementerian sentiasa beri perhatian dan penekanan khusus terhadap kebajikan serta perlindungan terhadap golongan yang berada dalam 'gig economy' agar sentiasa terpelihara.

"Perkara ini juga akan dibangkitkan oleh Menteri Sumber Manusia dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan datang," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Foodpanda perkenal skim baharu mulai esok