Tiada penjualan aset strategik TH: Mujahid

Mujahid
Mujahid
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini menepis dakwaan kononnya Lembaga Tabung Haji (TH) telah melepaskan pegangan aset dan ekuiti strategik berjumlah RM2.6 bilion.

"Mana ada syarikat lepaskan (aset dan ekuiti) RM2.6 bilion dalam tempoh tiga bulan melainkan ia akan menimbulkan panik kepada pasaran,” katanya berhubung dakwaan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kononnya TH telah menjual aset strategik bernilai RM2.6 bilion termasuk pegangan saham dalam Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Mujahid berkata dakwaan sedemikian hanya akan menjejaskan institusi Islam berkenaan.

"TH sudah berada pada landasan tepat setelah setahun kita pulihkan, takkan la hendak buat perkara yang jejaskan reputasinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia 2019 di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: TH jual RM2.6B ekuiti: Minta Mujahid beri penjelasan

TH dalam kenyataannya semalam turut menegaskan tidak pernah menjual ekuiti berjumlah RM2.6 bilion termasuk keseluruhan pegangan saham TH dalam TNB bernilai RM1.8 bilion.

TH sebaliknya berkata, sepanjang 2019, nilai ekuiti domestiknya meningkat sebanyak RM1.12 bilion daripada RM6.36 bilion pada akhir 2018, kepada RM7.48 bilion setakat 27 September 2019.

Mujahid berkata, tindakan pihak menyerang TH dengan kenyataan tidak benar untuk memburukkan kerajaan ibarat Lebai Malang, marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memberi tempoh selama seminggu kepada Asyraf Wajdi untuk meminta maaf secara terbuka berhubung kenyataannya jika tidak mahu tindakan tegas diambil. - Bernama