UMNO mesyuarat pagi esok bincang pertindihan tarikh PRK, PAU

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO akan bermesyuarat pagi esok bagi membincangkan pertindihan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadualkan pada 16 November nanti.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa ketika ditanya berhubung tarikh PRK Parlimen Tanjung Piai yang ‘kebetulan’ sama dengan tarikh PAU.

“Esok kita akan meeting (mesyuarat), kita akan bincang,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tengah hari tadi, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun mengumumkan tarikh mengundi bagi PRK Parlimen Tanjung Piai adalah pada 16 November nanti.

Menurutnya, hari penamaan calon ditetapkan pada 2 November manakala hari mengundi awal pula pada 12 November.

Sementara itu, ketika ditanya kebarangkalian PAU dibawa ke Johor, Ahli Parlimen Ketereh itu menegaskan ‘soalan dibawa ke Johor adalah di luar konteks’.

“Pagi esok kita ada mesyuarat. (Adakah UMNO akan umumkan sesuatu esok?) Ya,” jawab beliau ringkas.

Menerusi ciapan di Twitter beliau tengah hari tadi, Annuar menyatakan sudah menduga SPR akan memilih tarikh yang sama dengan PAU.

Artikel Berkaitan:

“SPR bijak dan adil molek...memilih tarikh PRK sewaktu UMNO sedang mengadakan Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur,” ciap beliau.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut menyindir SPR malah menzahirkan ucapan terima kasih kepada SPR kerana ‘tidak sengaja’ memilih tarikh tersebut.

“Terima kasih SPR kerana tidak sengaja memilih tarikh Pilihan Raya Kecil P165 Tanjung Piai bersempena tarikh Perhimpunan Agung UMNO pada 16 November 2019,” tulis beliau dalam laman Facebooknya.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Tanjung Piai: Asyraf Wajdi sindir SPR?