Ganjaran RM30,000 kepada pemberi maklumat pembunuh gajah pygmy

Gajah Pygmy Borneo yang ditemui dengan kesan tembakan di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, di Tawau. - Foto Jabatan Hidupan Liar
Gajah Pygmy Borneo yang ditemui dengan kesan tembakan di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, di Tawau. - Foto Jabatan Hidupan Liar
A
A
A

TAWAU - Ganjaran RM30,000 menanti pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh seekor gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan dekat sini baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, ganjaran itu masing-masing RM10,000 daripada JHL, Orangutan Appeal United Kingdom dan sebuah pertubuhan sukarela.

Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap bangkai gajah pygmy berpunca daripada peluru yang digunakan menembusi tengkorak gajah malang itu.

Augustine berkata, di kiri dan kanan badan gajah itu terdapat kesan lebih kurang 70 peluru tabur namun tidak menyebabkan kematian kepada gajah berkenaan.

“Banyak kesan tembakan di badan tetapi itu mungkin hanya menyebabkan kesakitan tetapi salah satu peluru itu menembusi tengkorak gajah berkenaan dan gadingnya telah dipotong serta diambil pemburu,” katanya.

Pada 25 September lalu, sekumpulan pemancing menemukan bangkai gajah berkenaan dalam keadaan terduduk di tebing Sungai Udin, Kalabakan sebelum gambar haiwan itu tersebar di media sosial.

Susulan itu, Jabatan Hidupan Liar melakukan siasatan dan mendapati gading gajah itu dipotong dan hasil bedah siasat mendapat terdapat 70 tembakan di pipi, kepala, badan serta punggung gajah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, gajah itu ditembak menggunakan shot gun dan pembunuhnya boleh didakwa di bawah Akta Senjata Api 1960 serta mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar di bawah JHL.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek itu kini dalam radar pemburuan polis dan JHL menerusi Operasi Khazanah yang turut disertai Jabatan Perhutanan Sabah.

"Jadi kita lancarkan Ops Khazanah Bersepadu, menggembleng semua tenaga penguatkuasa kita yang ada dan kita bersetuju tentang kaedah yang akan digunakan dalam masa terdekat ini setelah kita kenal pasti sasaran," katanya.

Beliau berkata, polis sudah mengenalpasti motif dan mengesyaki suspek merupakan pemburu gading gajah berdasarkan gading pada gajah yang dibunuh itu, hilang.

"Dari siasatan dan taklimat bersama JHL memang gajah ini dibunuh, sengaja dibunuh, dan untuk tujuan mengambil gading, ini pembunuhan kejam," katanya.

Peter turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu agar tampil dan menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan, atau menghubungi pegawai JHL bagi membantu siasatan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 40 kesan tembakan, lebih 70 butir peluru pada bangkai gajah