Kemakmuran Bersama: Tujuh teras jadi azam baharu

Noorizal
Noorizal
A
A
A

ALOR SETAR - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perlis menyambut baik kerangka Kemakmuran Bersama melalui tujuh teras strategik yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusinya, Noorizal Zakaria berkata, tujuh teras itu harus dijadikan sebagai azam dan matlamat baharu bagi seluruh rakyat Malaysia khususnya belia.

Menurutnya, pemimpin masyarakat yang dipilih sebagai pentadbir kerajaan juga harus memastikan agenda Kemakmuran Bersama dapat dilaksanakan sebaiknya agar Malaysia mampu bergerak seiring serta berdaya saing dengan negara-negara maju lain.

“GPMS Perlis juga harap kerajaan tidak lupa untuk memastikan teras modal insan menjadikan perpaduan dan semangat patriotisme ditekankan pada segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Noorizal berkata, ini termasuk memperkasakan pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang perlu dijadikan keutamaan penting bagi memastikan belia tidak ketinggalan dalam arus pemodenan negara.

“Besar harapan kami untuk melihat kepesatan ekonomi dalam negara dipacu termasuk di Perlis bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Perlis mempunyai kepelbagaian sumber dan penting sebagai benteng sempadan negara, ia tidak seharusnya dipinggirkan dalam pembangunan negara,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wawasan Kemakmuran Bersama: Bebas diskriminasi pasaran buruh

Tiga fokus utama kurangkan jurang kemiskinan

Artikel Berkaitan:

Pada Mei lalu, Dr Mahathir menggariskan tujuh teras strategik bagi memastikan matlamat Kemakmuran Bersama yang dirangka kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat dicapai.

Dr Mahathir berkata, Kemakmuran Bersama adalah usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif (equitable growth) di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan keharmonian dan kestabilan menjelang 2030.

Beliau berkata, sepanjang dekad lalu, ekonomi negara telah berubah secara radikal dan ini menyebabkan hasrat menjadi negara maju seperti disandarkan dalam Wawasan 2020 tidak tercapai.