Wann mahu ubat rindu peminat dalam GV6

Penyanyi, Wann (FOTO: Astro)
Penyanyi, Wann (FOTO: Astro)
A
A
A
SELEPAS tiga kali diberikan tawaran untuk menyertai program Gegar Vaganza (GV), penyanyi popular era 1990an, Wann, akhirnya menyahut cabaran tersebut demi mengubat rindu para peminatnya menerusi penampilannya dalam GV musim keenam.

Pemilik nama lengkap Wan Rashidah Meor Abdul Rashid, 49, pada era kegemilangannya cukup dikenali dengan trademark suara ‘meneran’, sekaligus menjadikanya berbeza dengan penyanyi lain.

“Biarpun dah lama tak aktif dalam bidang seni, saya tidak sangka masih ramai peminat yang mengikuti perkembangan saya sehingga ke hari ini.

“Selepas GV diperkenalkan, ramai peminat mahu saya turut serta. Begitu juga pihak produksi yang sudah tiga kali memberikan saya tawaran yang sama.

“Mungkin kerana sokongan tidak putus itulah membuatkan saya akhirnya terbuka hati menyertai GV6. Inilah masa yang sesuai untuk saya mengubati rindu peminat, apatah lagi tahun depan usia saya sudah mencecah 50 tahun,” luahnya.

Ditanya apakah yang membuatkan dia menolak tawaran menyertai GV sebelum ini, kata Wann, semuanya kerana kurang keyakinan dalam diri.

Apatah lagi, sudah lebih 20 tahun dia tidak membuat persembahan secara aktif dan mengakui gementar untuk kembali beraksi.

“Saya belum bersedia sepenuhnya. Ada rasa kurang yakin dalam diri saya untuk kembali beraksi selepas hampir 20 tahun tidak menyanyi di pentas berskala besar begini.

“Apatah lagi GV merupakan sebuah pertandingan yang memerlukan setiap pesertanya menyanyikan pelbagai genre lagu baharu dan lama.

Artikel Berkaitan:

“Jujurnya saya tak takut dengan kritikan juri atau komen daripada netizen kerana sejak awal menjadi penyanyi pun saya dah biasa dengan semua itu. Cuma rasa kurang yakin itu menjadi penghalang, namun berbeza untuk kali ini,” ujar Wann.

Berkongsi perancangannya selepas ini, kata Wann, dia tidak meletakkan apa-apa jangkaan untuk GV6, melainkan mahu memberikan yang terbaik demi peminat.

Bagaimanapun, Wann tidak menafikan mempunyai hasrat untuk tampil dengan sebuah single baharu sekiranya rezeki memihak kepadanya.

“Kalau ada rezeki, saya memang berhasrat untuk tampil dengan single baharu. Memang rindu sangat nak masuk studio buat lagu. Tak perlu album, cukup sekadar single untuk saya hadiahkan pada peminat.

“Kali terakhir saya rakam lagu di studio, pada 1993 dan selepas itu semuanya merupakan lagu-lagu daripada album kompilasi.

“Sejak mendirikan rumah tangga, saya ikut suami menetap di Singapura dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga, sekaligus memperlahankan aktiviti nyanyian saya sehinggalah ke hari ini,” kata Wann.