Kantoi main judi dalam banglo

Antara yang ditahan dalam Ops Jol di sebuah rumah banglo dua tingkat di Bukit Gita Bayu, Seri Kembangan malam tadi.
Antara yang ditahan dalam Ops Jol di sebuah rumah banglo dua tingkat di Bukit Gita Bayu, Seri Kembangan malam tadi.
A
A
A

KAJANG - Seramai 16 lelaki warga China berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah banglo dua tingkat di Bukit Gita Bayu, Seri Kembangan malam tadi.

Dalam Ops Jol dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kira-kira jam 10 malam tadi, kumpulan lelaki berkenaan sedang melakukan urus niaga menggunakan telefon bimbit dan komputer.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dalam operasi tersebut 15 individu turut ditangkap kerana didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan sah manakala seorang lagi dikesan masuk menggunakan pas lawatan sosial.

Menurutnya, pihaknya turut merampas 16 unit komputer riba pelbagai jenama, 26 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan dua unit modem pelayaran internet.

"Premis yang diserbu dan barangan yang dirampas dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian online antarabangsa yang telah beroperasi selama satu bulan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pertaruhan 1953," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian online dan lain-lain aktiviti seumpamanya supaya melaporkan kepada polis atau mana-mana balai yang terdekat.

Katanya, kerjasama orang ramai akan membantu pihak polis dalam membasmi kegiatan itu serta mendokong hasrat kerajaan baharu dan kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel Berkaitan: