Calon SPM jadi pengedar dadah dicekup polis

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Polis menahan seorang remaja lelaki dipercayai pengedar dadah dalam Op Tapis di Taman Panji, Jalan Panji di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, suspek berusia 18 tahun itu ditahan pada jam 3.30 petang selepas cuba melarikan diri daripada polis.

"Suspek berjaya ditangkap dan ketika pemeriksaan tubuh badan suspek dilakukan remaja berkenaan menyerahkan sendiri satu paket plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.25 gram (RM787).

"Dia turut menyerahkan sembilan gulung kertas timah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, suspek yang masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di sini dan juga calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun ini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu bersama barang rampasan untuk disiasat.

"Hasil siasatan lanjut mendapati suspek yang juga positif dadah jenis syabu mula terlibat sejak awal September lalu secara kecil-kecilan di kawasan Kampung Makuao Lahad Datu selepas terpengaruh dengan rakannya.

"Selain itu dia juga mahu mendapatkan wang mudah bagi meringankan beban kehidupan keluarga," katanya dan suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Selain itu Nasri berkata, suspek mendapatkan bekalan dadah itu dari seorang lelaki dikenali sebagai 'Abang' di kawasan Kampung Puyut di sini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu menurut Nasri, polis kini turut giat memburu lelaki tersebut dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil ke balai polis berdekatan. - Bernama