Syukur baki hutang bina masjid langsai

Sinar Harian sebelum ini melaporkan jawatankuasa pembinaan Masjid Kampung Seri Aman buntu apabila masih berhutang sebanyak RM1.6 juta dengan pihak kontraktor meskipun masjid sudah siap dibina.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan jawatankuasa pembinaan Masjid Kampung Seri Aman buntu apabila masih berhutang sebanyak RM1.6 juta dengan pihak kontraktor meskipun masjid sudah siap dibina.
A
A
A

PUCHONG - Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid Kampung Seri Aman (JPMKSA) di sini melahirkan rasa lega apabila baki hutang sebanyak RM1.6 juta kepada syarikat kontraktor bagi pembinaan masjid tersebut akhirnya berjaya dilunaskan.

Pengerusinya, Shahrudin Mohd Sapian berkata, masjid itu siap dibina pada tahun 2017 dan memulakan penganjuran solat Jumaat pada bulan Mei tahun yang sama.

Bagaimanapun selepas siap dibina, pihak jawatankuasa buntu kerana masih terdapat baki hutang belum dijelaskan kepada pihak kontraktor.

Shahrudin
Shahrudin

Menurutnya, pihaknya menggerakkan lebih 200 tabung di pelbagai premis sekitar Selangor sebagai usaha mengutip dana bagi melangsaikan hutang tersebut.

“Alhamdulillah syukur... dengan sumbangan orang ramai, jawatankuasa berjaya selesaikan semua hutang tertunggak kepada kontraktor dan bayaran terakhir dibuat adalah sebanyak RM118,500 pada September lalu.

“Saya nak ucap terima kasih kepada Sinar Harian kerana setiap kali berita kekurangan dana pembinaan masjid disiarkan, puluhan ribu duit sumbangan masuk ke dalam akaun JPMKSA.

“Saya juga nak ucap terima kasih kepada kontraktor utama, Sri Sekamat Enterprise Sdn Bhd yang sabar tunggu pembayaran tertunggak," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Shahrudin berkata, pihaknya memulakan kutipan dana pada tahun 2010 selepas menerima kelulusan dan masjid tersebut mula dibina pada tahun 2014 dengan kos keseluruhan sebanyak RM9.8 juta.

Menurutnya, dana sebanyak RM1.3 juta diterima daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dengan hasil usaha bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Datuk Mohamad Satim Diman.

Pembinaan masjid itu katanya, turut menerima dana daripada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Hampir RM8 juta daripada kos pembinaan diterima daripada sumbangan orang ramai sahaja. Saya terharu apabila ada beberapa orang perseorangan yang menyumbang lebih RM100,000 untuk bina rumah ALLAH ini.

“Saya tak duga kita akan berhutang lepas masjid siap tapi Alhamdulillah semua dah selesai. Meskipun banyak cabaran dan dugaan ketika mengutip dana, hati rasa puas melihat masjid akhirnya siap dibina pada tahun 2017,” katanya.

Sementara itu Setiausaha JPMKSA, Mejar (B) Nor Azmi Mat Nasir berkata, selepas baki hutang dilangsaikan, tiada sesiapapun dibenarkan meletakkan tabung kutipan derma bagi tujuan pembinaan Masjid Kampung Seri Aman.

Nor Azmi
Nor Azmi

Menurutnya, beliau ada menerima aduan terdapat tabung diletakkan pihak tidak bertanggungjawab di premis makanan di Kuala Lumpur untuk tujuan kutipan dana pembinaan Masjid Kampung Seri Aman.

“Masjid sudah siap dibina dan baki hutang kos pembinaan kepada kontraktor sudah diselesaikan sepenuhnya.

“Saya bimbang ada pihak yang cuba menyalah guna kutipan dana diterima kerana tabung permohonan sumbangan untuk pembinaan masjid yang ditempatkan sebelum ini semuanya sudah diambil balik,” katanya.