Usaha martabatkan bahasa Melayu medium ikatan perpaduan

Johari Yap
Johari Yap
A
A
A

KOTA BHARU - Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu disokong semua pihak kerana ia dilihat sebagai salah satu medium ikatan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Kebangsaan, Dr Johari Yap berkata, di Kelantan contohnya, kebolehan dan kemahiran masyarakat Cina, India serta Siam berbahasa Melayu berjaya merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat.

Menurutnya, kaum Cina di negeri itu terutamanya turut dilihat lebih selesa bahasa Melayu dalam komunikasi seharian walaupun boleh menggunakan dialek Hokkien.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan mereka begitu fasih berbahasa Melayu. Sebagai contoh, Kelantan mempunyai pakar bahasa Melayu seperti Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong dan Profesor Madya Dr Lim Swee Tin.

"Guru saya ketika di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Kota Bharu, Chan Eh Gi pula pakar subjek Kesusasteraan Melayu.

“Sahabat saya, Shah Imran Lim ialah guru bahasa Melayu di Pusat Bahasa Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan di Kubang Kerian,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Maszlee Malik yang mahu bahasa Melayu dimartabatkan untuk membudayakan bahasa kebangsaan sebenar menerusi kaedah pembelajaran terbaik, lebih difahami dan bukan semata-mata mengikut silibus mata pelajaran.

Dr Johari berkata, tanggungjawab mempertahankan bahasa Melayu bukan sahaja perlu dipikul Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka atau universiti tempatan sahaja, sebaliknya melibatkan semua warganegara.

Artikel Berkaitan:

"Jika lebih ramai masyarakat bukan Melayu dapat menguasai bahasa Melayu lebih baik, maka komunikasi dan perhubungan mereka dengan masyarakat Melayu akan bertambah erat.

"Secara tidak langsung menghilangkan perasaan curiga seterusnya merapatkan lagi tali silaturahim pelbagai kaum dalam negara," katanya.

Menurutnya, bahasa Melayu bukan sahaja mampu menjadi bahasa ilmu tetapi mampu juga menjadi bahasa perpaduan.

“Daripada pengamatan saya, orang Cina Kelantan lebih senang bergaul dengan masyarakat Melayu. Bukan sahaja di Kelantan, malah di pantai barat sekalipun.

“Mereka lebih senang bergaul dan berinteraksi dengan masyarakat Melayu kerana mereka fasih berbahasa Melayu,” katanya.