X

Kindly register in order to view this article
!

Perbadanan Wakaf Selangor teroka kaedah terbaharu berwakaf

Anuar Hamzah (tiga dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Fisabilillah kepada lima buah institusi di Shah Alam semalam. Gambar kecil: Anuar Hamzah
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) terus komited untuk meneroka kaedah terbaharu bagi memudahkan orang ramai berwakaf.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata, salah satu inisiatif yang telah dilaksanakan pihaknya adalah dengan meletakkan Tabung Wakaf Tunai di masjid di semua daerah di Selangor.

“Setakat ini sambutan orang ramai, jemaah dan kariah masjid mengenai kaedah kutipan wakaf yang diperkenal itu amat memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Fisabilillah kepada lima institusi di sini semalam.

Anuar Hamzah berkata, sepanjang Januari sehingga Ogos lalu PWS telah menguruskan Dana Wakaf Tunai sebanyak RM7.08 juta.

"Jumlah tersebut merangkumi Wakaf Tunai yang diterima daripada pewakaf yang membuat potongan gaji bulanan, kutipan Tabung Wakaf Tunai di masjid, secara atas talian, Sahabat Korporat Wakaf dan Ejen Penerangan Wakaf," katanya.

Mengulas mengenai program itu, katanya, Perbadanan Wakaf Selangor menyampaikan sumbangan fisabilillah kepada lima institusi dengan jumlah keseluruhan RM175,000.

“Antara institusi yang menerima sumbangan fisabilillah ini ialah Surau Al-Talbiah Kampung Dusun Nanding Hulu Langat, Surau Al-Iman Taman Dengkil Jaya, Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Surau Al-Amin Kampung Melayu Batu Arang dan Masjid Kampung Kuantan, Klang,” katanya.

Jelasnya, sumbangan itu merupakan hasil sumbangan Wakaf Tunai yang diterima pada tahun 2018.Orang ramai yang ingin berwakaf boleh berbuat demikian melalui Skim Infaq Potongan Gaji, secara atas talian, auto debit dan mengimbas imej QR Code melalui aplikasi SnapNPay.

Untuk sebarang pertanyaan, hubungi Perbadanan Wakaf Selangor melalui Bahagian Pemasaran dan Dakwah di talian 03-5518 8001 atau e-mel: [email protected]


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus