X

Kindly register in order to view this article
!

Masa depan gemilang China

A
A

REPUBLIK Rakyat China hari ini berusia 70 tahun!

Kira-kira 70 tahun yang lalu, mendiang Pengerusi Mao Zedong mengisytiharkan penubuhan Republik Rakyat China kepada seluruh dunia. Dengan pengumuman tersebut, maka berakhirlah penderitaan dan kesusahan yang diharungi bangsa Cina selama 100 tahun ekoran pergolakan dalaman dan ancaman luaran. Sejak itu, China bangkit melangkah dengan gagah memulakan perjuangan ke arah kemakmuran negara dan kebangkitan bangsa.

Saya masih ingat generasi yang lahir pada hujung 1940-an dan awal 1950-an sentiasa diberikan nama ‘Jian Guo’ (maksudnya penubuhan negara) atau ‘Guo Qing’ (maksudnya hari kebangsaan). Dengan demikian boleh dikatakan bahawa penubuhan negara baharu besar maknanya bagi semua rakyat China yang meletakkan harapan tinggi terhadap masa depan negara.

Dalam tempoh 70 tahun yang lalu, China telah mencipta banyak keajaiban dalam pembangunan sosioekonomi. Bermula daripada sebuah negara pertanian yang miskin, China sekarang berkembang menjadi entiti ekonomi kedua terbesar dan gergasi sektor pembuatan dengan mempunyai jumlah dagangan dan rizab pertukaran asing yang paling besar di dunia.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menyaksikan pertumbuhan 450 kali ganda iaitu meningkat kepada AS$13.6 trilion (RM56.9 trilion) pada 2018 daripada AS$30 bilion (RM125.8 bilion) pada 1949. China kini merupakan rakan dagang terbesar bagi 130 buah negara.

China juga mencapai kemajuan yang besar dalam bidang sains dan teknologi. Pada peringkat awal penubuhan negara, China tidak mempunyai sebarang kepakaran dalam bidang pembuatan dan teknologi. Pada hari ini, negara itu bukan sahaja menjadi pengeluar automotif terbesar di dunia, malah juga mempunyai pesawat badan lebar buatan sendiri.

Dengan pelaksanaan strategi pembangunan dipacu inovasi, pencapaian dalam pelbagai bidang telah dirangkul antaranya termasuk penerbangan angkasa lepas pembawa angkasawan, misi penjelajahan bulan, sains kuantum, penjelajahan laut dalam, super komputer, navigasi satelit dan lain-lain. Selain menduduki tempat teratas dalam pemfailan permohonan paten selama 8 tahun berturut-turut, China juga terkedepan dari segi teknologi 5G, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI). Jumlah pengguna jalur lebar mudah alih di China telah melebihi 1.3 bilion.

Sejak dipulihkan kerusi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1971, China sentiasa melibatkan diri secara aktif dalam urusan dunia. China merupakan penyumbang kedua terbesar kepada bajet tetap PBB dan juga negara yang mengerahkan anggota pengaman paling banyak untuk misi pengaman PBB antara lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Selain itu, China juga menganggotai hampir semua organisasi antarabangsa antara kerajaan dan lebih 500 konvensyen antarabangsa. Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang disarankan Presiden Xi Jinping pada 2013 telah mendapat sahutan daripada 136 buah negara serta 30 pertubuhan antarabangsa sehingga menjadi salah satu barang awam global dan platform kerjasama antarabangsa yang paling popular.

Keterbukaan

Pencapaian China yang cemerlang pada hari ini bergantung kepada tiga faktor. Yang pertama adalah pimpinan Parti Komunis China (PKC). Sepanjang 70 tahun lalu, jumlah anggota PKC bertambah kepada 90 juta berbanding lebih 10 orang pada peringkat awal penubuhan parti berkenaan. PKC mengetuai rakyat China merintis satu jalan pembangunan yang paling sesuai dengan keadaan sebenar negara dan memastikan dasar yang diperkenalkan kerajaan sejajar dengan kepentingan rakyat. Ini menjadi punca utama PKC mampu memenangi sokongan rakyat.

Yang kedua, semangat perjuangan rakyat. Penyertaan tenaga buruh China menduduki ranking pertama di dunia dengan kadar 76 peratus melibatkan hampir semua orang melainkan warga emas, kanak-kanak dan pelajar. Kira-kira 1.4 bilion rakyat bekerja keras membanting tulang tanpa mengenal kata lelah demi mencari rezeki.

Dan ketiga, konsep pembangunan China berteraskan keamanan, keterbukaan dan keinklusifan. China mengekalkan hubungan baik dengan hampir semua negara di dunia yang mencipta suasana kondusif untuk pembangunan sendiri. China berpegang teguh pada dasar pembaharuan dan pintu terbuka, di samping mengambil sikap terbuka, inklusif dan saling mempelajari dalam melakukan kerjasama dengan negara-negara lain.

Kini, dunia berhadapan peluang serta risiko yang timbul seiring dengan perubahan dan sistem tadbir urus global. Entiti ekonomi baharu muncul dan negara-negara membangun termasuk China dan Malaysia bukan sahaja berdepan dengan peluang terbaik, tetapi juga cabaran yang agak besar.

Khususnya dalam masa terdekat ini, pertarungan antara China dan Amerika Syarikat menarik perhatian pelbagai pihak. Isu-isu seperti mampukah kedua-dua negara mengelakkan diri daripada Thucydides’s Trap dan dapatkah ekonomi China kekal tumbuh mampan menjadi bualan hangat.

Dalam pada itu, China telah memberikan jawapan yang jelas, iaitu sudi berdialog dengan harapan pihak Amerika Syarikat dapat sehaluan dalam usaha menjaga persekitaran ekonomi dunia yang mantap. China beriltizam untuk mengharungi segala rintangan dalam laluan pembangunan, di samping menawarkan lebih banyak peluang kepada dunia.

Malaysia jiran tetangga yang baik kepada China, salah satu negara yang paling awal menjalinkan hubungan diplomatik dengan China di rantau ASEAN sejak ikatan dijalin 45 tahun lalu. Pada masa ini, hubungan China-Malaysia memasuki era baharu. Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memandang serius hubungan dengan China dan aktif terlibat dalam kerjasama berkaitan BRI, membolehkan ikatan dua hala memperlihatkan momentum perkembangan yang lebih kuat.

Dalam setahun lepas, lebih separuh anggota jemaah menteri Malaysia telah melakukan lawatan ke China. Banyak produk keluaran Malaysia, seperti buah durian dan minyak sawit dieksport ke China, semakin banyak syarikat China melabur di Malaysia. Boleh dirumuskan bahawa hubungan kedua-dua negara mempunyai asas yang kukuh, potensi yang besar dan prospek yang luas. China akan berganding bahu dengan negara lain termasuk Malaysia untuk mengatasi onak ranjau yang ditempuhi ke arah merintis masa hadapan yang lebih gemilang!

*Bai Tian ialah Duta Besar China Ke Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!