Najib tandatangan dokumen usahasama 1MDB-AABAR bagi projek TRX

1MDB TRX
1MDB TRX
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah menandatangani Directors' Circular Resolution (DCR) dan Special Rights Redeemable Preference (SRRP) yang memberikan situasi 'win-win' bagi usahasama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Aabar Investment PJS Limited (Aabar) dalam pembangunan projek Tun Razak Exchange (TRX).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata, usahasama itu membolehkan Aabar membawa masuk dana RM1.4 bilion manakala 1MDB akan memberikan 'development rights' bagi menyempurnakan projek TRX.

Shahrol Azral berkata, DCR 1MDB bertarikh 9 Julai 2012 telah ditandatangan oleh Najib bertujuan mencadangkan 1MDB Real Estate Sdn Bhd untuk bersama-sama membangunkan Parcel A.1.0, sebuah tanah pembangunan pegangan bebas berukuran 564,965 meter persegi di Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD) bersama-sama dengan Aabar manakala SRRP pada tarikh sama itu adalah kelulusan mengenai perkara usahasama pembangunan bersama Aabar.

"Saya sahkan terdapat tandatangan Datuk Seri Najib selaku Minister of Finance Incorporated (MOF Inc) pada kedua-dua dokumen ini dan diluluskan dalam kapasiti beliau sebagai pemegang saham SRRP," katanya.

Saksi kesembilan, yang juga saksi penting pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-15 perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Shahrol Azral berkata, perkara itu dimaklumkan beliau sendiri dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB pada 21 Jun 2012 dan ketika itu beliau turut memberitahu bahawa pihak pengurusan ada meminta pihak Aabar Investment PJS Ltd untuk mempertimbangkan mengenai rundingan pengurusan kerja infrastruktur bagi keseluruhan projek KLIFD yang kini dikenali sebagai TRX.

"Projek TRX yang dilancarkan pada 30 Julai 2012 juga adalah antara idea bagi membesar pelaburan 1MDB dengan Aabar Investment PJS (Aabar) oleh Jho Low dan pihak Aabar turut menunjukkan minat mereka dan akan memberi keputusan pada masa terdekat.

“Apa yang saya faham berkenaan dengan usahasama bersama Aabar, pada ketika itu, terdapat cadangan untuk usahasama dengan Aabar untuk Phase 1 TRX. Dalam mesyuarat ini, saya membuat cadangan baharu supaya Aabar diminta menanggung pembiayaan kerja-kerja infrastruktur keseluruhan projek TRX dan kesemua perancangan awal telah dibuat oleh Jho Low sendiri melalui pelan tindakan dan nota maklumatnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Merujuk kepada surat yang dihantar oleh Aabar Investments PJS Limited kepada BOD 1MDB bertarikh 27 Jun 2012, Shahrol Azral berkata, beliau telah menerima surat itu daripada Jho Low tetapi tidak tahu bagaimana ahli perniagaan itu menerimanya.

"Pihak Aabar telah melampirkan salinan terma-terma bagi cadangan membangunkan Parcel A.1.0 di KLIFD. Surat itu menjelaskan bahawa sekiranya pihak 1MDB bersetuju dengan terma-terma yang dicadangkan, pihak 1MDB perlu menandatangani surat itu sebelum 9 Julai 2012.

"Jho Low kemudian meminta saya melalui BlackBerry Messenger (BBM) pelan-pelan perancangan bagi memberi mandat kepada peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan untuk berunding dan menguruskan segala hal yang melibatkan usahasama Aabar termasuk proses luar negara," katanya.

Shahrol Azral berkata, beliau tahu Jasmine adalah individu yang dipercayai Jho Low untuk melaksanakan tindakan seperti yang digariskan dalam pelan perancangan Jho Low berdasarkan maklum balas dari Jho Low sendiri.

"Oleh itu, apa-apa yang diutarakan oleh Jasmine berkaitan hal usahasama ini datangnya daripada Jho Low dan segala apa daripada Jho Low adalah daripada Datuk Seri Najib sendiri," katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada Sri Ram bagaimana beliau boleh membuat kesimpulan mengenai perkara itu, Shahrol Azral berkata Jasmine sudah bekerja dengan 1MDB sekurang-kurangnya satu tahun pada masa itu.

"Arah untuk mendapatkan mandat bagi transaksi ini datangnya daripada Jho Low dan dalam pemikiran saya ketika itu, Jasmine akan memenuhi hasrat Datuk Seri Najib menerusi Jho Low," katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama