Larang baca doa: 10 laporan diterima di seluruh negara

A
A

KUALA LUMPUR - Sepuluh laporan polis diterima di seluruh negara berhubung dakwaan tindakan sebuah sekolah rendah di Pulau Pinang yang tidak membenarkan bacaan doa mengikut agama Islam pada satu majlis di sekolah itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi berkata, polis setakat ini telah memanggil lima individu untuk diambil keterangan.

Kesemua laporan itu diterima di tiga negeri iaitu lapan di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Selangor dan Kedah, katanya ketika dihubungi di sini.

Terdahulu pada sidang media di Bukit Aman pagi ini, Mior Faridalatrash berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.

Pada Jumaat, beberapa individu dikatakan hadir pada satu majlis penyampaian anugerah di sekolah itu dan didakwa melarang pelajar Islam membaca doa mengikut agama Islam sebaliknya dibaca mengikut agama Kristian.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua sekolah diberi 'memo', langgar peraturan pendidikan

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mior Faridalatrash berkata, tidak menghormati lagu Negaraku adalah satu kesalahan dan individu terlibat boleh ditangkap dan disiasat mengikut Akta Lagu Kebangsaan 1968.

"PDRM mempunyai peruntukan di bawah akta berkenaan untuk mengambil tindakan terhadap individu yang tidak menghormati lagu kebangsaan," katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman klip video yang menunjukkan beberapa individu tidak berdiri semasa lagu kebangsaan, Negaraku dimainkan, dalam kejadian dipercayai di Sarawak. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Siasat mereka yang tidak hormat lagu Negaraku