Wujudkan elaun khas RM500 kepada bekas tentera zaman darurat

Majlis Persidangan Tahunan Perwakilan ke-59 PVATM Pahang.
Majlis Persidangan Tahunan Perwakilan ke-59 PVATM Pahang.
A
A
A

TEMERLOH - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) memohon kerajaan mewujudkan elaun sara hidup khas sebanyak RM500 kepada lebih 80,000 bekas tentera zaman darurat seluruh negara.

Presidennya, Kapten (B) Datuk Shaharuddin Omar berkata, pemberian tersebut disifatkan tindakan wajar memandangkan mereka yang menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) banyak menabur jasa untuk negara dalam menangani ancaman komunis.

"Kita berharap permohonan supaya penerima pingat diberikan elaun bulanan sebanyak RM500 sebulan dapat direalisasikan untuk mengenang jasa dan pengorbanan besar mereka selama ini demi keamanan negara.

"Kita berdoa dan mengharapkan permohonan ini dibawa dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober ini nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Persidangan Tahunan Perwakilan ke-59 PVATM Pahang di sini kelmarin.

Shaharuddin berkata, penerima pingat yang terbabit telah berkhidmat dalam tiga fasa darurat iaitu 1948 hingga 1960, 1968 hingga 1989 di Semenanjung dan 1990 di Sabah dan Sarawak menentang pengganas komunis.

"Kita harus menghargai perjuangan mereka bergadai nyawa kerana kebanyakan mereka berada di barisan hadapan menentang komunis dalam pelbagai situasi mencabar dengan keringat darah serta air mata.

'"Penganugerahan PJM bukan sahaja mereka yang berada di barisan hadapan tetapi juga semua unik yang memberi sokongan logistik, bekalan makanan dan lain-lain sehingga pengganas komunis meletakkan senjata pada tahun 1989," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, PVATM membelanjakan sebanyak RM228,000 membeli lampin pakai buang dewasa untuk diagihkan kepada 140 veteran tentera uzur di seluruh negara.

Menurutnya, bantuan tersebut kepada pesakit terlantar ini adalah inisiatif PVATM sendiri setelah mengambil kira kesulitan dan kesusahan bekas tentera meneruskan kehidupan masing-masing.

"Daripada statistik yang diterima daripada PVATM negeri-negeri, masih ramai yang memerlukan bantuan seperti itu tetapi kemampuan persatuan ialah terhad.

'"Mesyuarat tertinggi PVATM baru-baru ini turut meluluskan bantuan susu khas kepada mana-mana veteran yang memerlukan susu sebagai makanan wajib untuk meneruskan hayat," katanya.

Beliau berharap kerajaan bertindak memperhalusi keperluan veteran ATM yang memerlukan bantuan kebajikan dan ekonomi bagi mengurangkan beban terutamanya yang uzur.