DJ Lin tangguh hasrat bersara, hargai sokongan peminat

DJ Lin mahu terus pertahankan program Suria Cinta.
DJ Lin mahu terus pertahankan program Suria Cinta.
A
A
A
PENYAMPAI Radio Suria FM, DJ Lin akan terus menaburkan baktinya di konti radio selepas mendapat kepercayaan penuh daripada para peminatnya yang mahu melihat dia terus aktif sebagai penyampai.

Menganggap kemenangannya sebagai Penyampai Radio Popular pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-32 (ABP32) baru-baru ini sebagai penghargaan daripada peminat,

DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 43, mahu mempertimbangkan semula hasratnya untuk bersara.

“Memang sebelum ini saya ada terfikir untuk bersara sebagai seorang penyampai. Bukan kerana sudah hilang minat, tetapi kerana tanggungjawab saya sebagai Pengurus Kanan di Suria FM yang menuntut komitmen yang lebih besar dalam segala aspek.

“Kemenangan ini adalah satu harapan dan kepercayaan yang diberikan peminat kepada saya. Kalau saya tinggalkan kerjaya penyampai radio bermakna saya akan mengecewakan peminat.

“Saya harus pertimbangkan semula hasrat untuk bersara. Kalau ia berlaku pun, mungkin bukan dalam masa yang terdekat ini,” tegasnya yang pernah memenangi kategori sama pada 2016.

Mengetepikan segala cabaran dan dugaan yang pernah dilaluinya selama ini, kata DJ Lin, dia mahu membuktikan tiada kejayaan yang mustahil jika seseorang itu sentiasa mempunyai semangat yang tinggi dan usaha yang tidak berbelah-bahagi.

Biarpun bersaing dengan muka-muka baharu dalam penyiaran radio, anak kelahiran Johor ini sentiasa percaya dengan kekuatan dan kelebihan yang dimilikinya.

“Saya tak nafikan, sebelum ini ada pihak yang cuba menjatuhkan saya dengan menyebarkan macam-macam cerita yang tidak benar tentang saya, tapi saya masih ada di sini kerana passion pada dunia radio.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah hari ini saya masih berdiri di sini. Saya bersyukur, walaupun dikata macam-macam saya berjaya buktikan jika kita kuat semangat dan sentiasa fokus pada apa yang dilakukan, insya-ALLAH akan ada ganjaran untuk kesabaran itu,” ujarnya yang menitiskan air mata terharu.

Akui DJ Lin, dia tidak mempunyai formula yang tertentu, tetapi sentiasa mengutamakan apa yang pendengar mahukan dalam sesuatu program yang dikendalikan, selain sentiasa mengikuti perkembangan arus semasa.

“Alhamdulillah pada tahun ini genap 20 tahun saya berada dalam industri radio dan 13 tahun mengendalikan program Suria Cinta yang menjadi trademark saya sejak sekian lama.

“Saya tiada formula tertentu untuk terus kekal relevan, namun saya sering menganggap diri saya adalah kekuatan saya. Diri saya yang sentiasa ikhlas dalam kerja yang saya lakukan dan hubungan saya dengan peminat.

“Dalam tempoh dua dekad itu, saya berjaya mengumpulkan peminat baharu dan lama di radio kerana saya sentiasa mengikut trend semasa. Misalnya pada era digital ini, saya turut aktif di media sosial dan sentiasa mengikuti perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam industri penyiaran radio,” katanya.