429 individu termasuk seorang konstabel polis diberkas

Mohd Khalil Kader bercakap pada sidang media mengenai Ops Club Rats di IPK Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Sharifudin Abdul Rahim
Mohd Khalil Kader bercakap pada sidang media mengenai Ops Club Rats di IPK Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 429 orang termasuk seorang anggota polis berpangkat konstabel diberkas dalam Ops Club Rats.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kesemua individu itu ditahan dalam operasi di pusat hiburan sekitar ibu kota pada Sabtu dan Ahad lalu.

"Kita telah memeriksa 1,350 di 22 pusat hiburan dan daripada jumlah itu 275 orang positif dadah manakala 154 orang memiliki dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, seramai 67 warga asing turut ditahan dalam operasi itu.

"Daripada jumlah tersebut seramai 35 positif dadah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin, ketamin, pil ekstasi, erimin 5 dan air ketum.

"Nilai rampasan dianggarkan RM 4,012.65," katanya.

Menurutnya, kesemua individu yang ditahan itu berusia 18 tahun hingga 41 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua individu direman mengikut Seksyen 17 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.