231 individu dikenakan notis kesalahan merokok

Dr Siti Mariah dan Dr Khalid menampal notis larangan merokok dalam premis makanan pada sesi walkabout di Seksyen 7, Shah Alam.
Dr Siti Mariah dan Dr Khalid menampal notis larangan merokok dalam premis makanan pada sesi walkabout di Seksyen 7, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah mengeluarkan sebanyak 4,331 notis kesalahan merokok dalam premis makanan terhadap 231 individu dan 4,100 pemilik restoran di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (pindaan 2018).

Pengarahnya, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, notis tanpa denda itu dikeluarkan sepanjang penguatkuasaan pendidikan menjelang penguatkuasaan larangan tersebut pada 1 Januari depan.

Menurutnya, penguatkuasaan pendidikan itu bertujuan meningkatkan kesedaran berhubung pewartaan 23 zon larangan merokok termasuk tempat makan awam melibatkan kawasan berhawa dingin dan terbuka.

"Selepas 1 Januari, individu yang dikesan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau Pindaan 2018 boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

"Sementara bagi pemilik premis makanan juga boleh didenda mengikut Peraturan 13 sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi setahun sekiranya didapati ada pelanggan merokok dalam kawasan premis," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Walkabout Premis Makanan Sebagai Kawasan Larangan Merokok bersama Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud di Pusat Komersial Seksyen 7 di sini.

Sementara itu katanya, pemilik, pengusaha atau tuan punya premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan mengikut Peraturan 12.

"Setakat ini, sebanyak 25,000 premis telah dilawati dalam Selangor dan 4,300 daripadanya juga turut dikesan gagal mempamerkan tanda larangan merokok.

Artikel Berkaitan:

"Larangan tersebut juga melibatkan rokok elektrik dan shisha asalkan mengeluarkan asap serta wap. Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kawasan awam bebas daripada asap rokok," katanya.

Puntung rokok dikesan dalam premis makanan sewaktu sesi walkabout di Seksyen 7, Shah Alam.
Puntung rokok dikesan dalam premis makanan sewaktu sesi walkabout di Seksyen 7, Shah Alam.